Thursday, February 22, 2018
Ahli PAS minta polis siasat bukti partinya terima duit Umno
Zulkifli Sulong
Ahli PAS minta polis siasat bukti partinya terima duit Umno
Ahli PAS terbabit berkata, dakwaan parti Islam itu menerima duit daripada Umno adalah satu pembohongan untuk menjatuhkan kredibiliti parti politik itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.
SEORANG ahli PAS membuat laporan polis selepas Naib Presiden Amanah, Husam Musa mendakwa beliau ada bukti rakaman yang mendedahkan PAS mengambil duit dari Umno dan menjalin kerjasama politik dengan parti itu.
Ibrahim Harun membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, Kuala Terengganu semalam berdasarkan tulisan seorang pengguna Facebook yang memetik kenyataan Husam mengenai perkara tersebut.
Dalam satu ceramah di Kota Bharu minggu lalu, Husam dilaporkan berkata: "PAS sudah ambil duit Umno termasuk dalam pilihan raya negeri Sarawak. Saya ada bukti dan rakamannya. Jangan risau."
Husam membuat dakwaan itu semasa berceramah di Kota Bharu 18 Februari lalu.
"Saya sebagai ahli PAS ingin pihak polis menyiasat perkara ini untuk menilai sejauh mana kebenaran atau sekadar fitnah/tohmahan darinya kerana saya percaya perkara ini adalah satu pembohongan untuk menjatuhkan kredibiliti parti politik PAS," kata Ibrahim dalam laporan polisnya itu.
Dalam ceramah itu, Husam Musa berkata beliau memiliki rakaman satu taklimat berkenaan isu itu dan bersedia mengeluarkannya apabila hampir pilihan raya.
"Saya ada rakaman itu dan pemimpin itu akan tahu saya benar-benar memilikinya.
"Ini kerana pemimpin berkenaan menyebut dalam rakaman itu kalau ada sesiapa bocorkan dia akan disumpah jadi abu,” katanya ketika berucap merasmikan Bilik Operasi Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dun Kadok, minggu lalu.
Menurut Husam, rakaman audio itu jelas menunjukkan bahawa PAS sudah bekerjasama dengan Umno.
Husam juga mencabar pemimpin PAS yang beliau tidak sebut namanya itu menafikan perkara ini.
"Sila buat penafian kalau perkara ini tidak benar. Jika jelas perkara ini benar, pilihan raya ini hanya ada dua pilihan antara PH dan Barisan Nasional (BN).
"Ini kerana menyokong PAS dalam pilihan raya ini hanya bertujuan memenangkan BN," katanya.
Sebelum ini Husam juga mendakwa, beliau melihat bukti seorang pemimpin PAS menerima wang dari Umno.
Selain Husam, Sarawak Report juga mendakwa, PAS menerima wang sebanyak RM90 juta dari Umno.
Ekoran itu, PAS menyaman pengarangnya, Claire Recastle Brown di sebuah mahkamah di London.– 22 Februari, 2018.
Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang............!!!!
ReplyDelete