Tuesday, February 20, 2018

Ahmad Bashah boleh sedia ‘pack’ barang?


SHAH ALAM - “Mat Bashah dah boleh bersedia ‘pack’ barang-barang dia untuk kita Bersatu ambil alih Kedah.

Demikian bidasan pedas yang dilemparkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamaruddin Mohd Noor terhadap keyakinan tinggi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Bersatu menempelak keyakinan Ahmad Bashah kononnya BN akan kekal di negeri jelapang padi itu meskipun tahu rakyat masih hormat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kamaruddin berkata, Pakatan Harapan (Harapan) berhasrat untuk menyelamatkan Kedah dan Malaysia.

“Semua tahu yang nak jual tanah dan aset negara ialah pimpinan sekarang bukannya Tun Mahathir.

“Macam mana mereka boleh terlupa dan terlepas pandang? Sedangkan kerajaan sekarang yang menjual aset negara seperti tanah, stesen jana kuasa eletrik, Proton dan meletakkan kedaulatan negara di ambang terumbang ambing,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian menjawab bedilan Ahmad Bashah yang mendakwa analisis BN Kedah mendapati rakyat masih hormat kepada Tun Mahathir tetapi mereka tidak akan menggadaikan masa depan agama, bangsa dan negara dengan memberikan sokongan kepadanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata turut yakin BN akan kekal di Kedah kerana Harapan tidak kuat seperti yang dibayangkan oleh penganalisis politik.

Sementara itu Kamaruddin tampil menyatakan Kedah antara negeri potensi Harapan paling kuat.

“Orang Melayu tak seperti orang Pakistan dan Arab dia tak tunjuk kecenderungan. Tunggu nanti pilihan raya. “Kita berjalan dan jumpa orang kita tahu apa dalam fikiran mereka. Jadi Ahmad Bashah boleh bersedialah,” katanya.

No comments:

Post a Comment