Sunday, February 25, 2018

CPI negara jatuh merudum, perasuah kekal sebagai MO1

DATUK MAHFUZ OMAR

CPI negara jatuh merudum, perasuah kekal sebagai MO1
ULASAN: Kedudukan Malaysia yang jatuh sebanyak tujuh tangga dalam indeks rasuah dengan kini berada di kedudukan ke 62 di bawah Greece daripada 180 buah negara amat memalukan dan menjatuhkan maruah Malaysia. Kedudukan ini menjadikan prestasi negara menjadi yang terburuk dalam tempoh lima tahun lepas.

Malaysia hanya mencatat skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), sebuah badan yang mengkaji tahap rasuah di negara-negara di dunia ini yang berpangkalan di Berlin, Jerman.

Pertubuhan ini mentakrifkan rasuah sebagai “penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk keuntungan peribadi”.

Walaupun Malaysia berada pada kedudukan ke tiga dalam kalangan 10 buah negara Asean, namun ia masih jauh ketinggalan daripada negara-negara lain.

Menghairankan apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi respons terkejut dengan pengumuman kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Ini menunjukkan beliau sebenarnya gagal memahami peranan sebenar SPRM atau buat-buat tidak faham dengan alasan data tersebut ‘tidak berpijak di bumi yang nyata’ kerana SPRM telah bertindak agresif dengan pelbagai tangkapan yang dilakukan oleh pihaknya sejak dua tahun lalu tetapi pengumuman CPI negara membuktikan usaha SPRM itu tidak memberi kesan dalam menurunkan kadar rasuah negara dan kedudukan ke-62 setaraf negara komunis Cuba.

Dalam hal ini, elok jika Tan Sri Dzulkifli Ahmad belajar daripada Pengerusi TI-M Datuk Akhbar Satar yang mana dalam kenyataannya beliau menjelaskan kegagalan Malaysia untuk menyelesaikan skandal rasuah berskala besar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, skandal Felda serta Jabatan Air Negeri Sabah menyumbang kepada prestasi buruk Malaysia.

Datuk Akhbar Satar turut mengakui bahawa kedudukan Malaysia akan terus jatuh dalam tempoh beberapa tahun lagi jika skandal yang membabitkan dana awam ini tidak diselesaikan segera.

Pengumuman CPI 2017 membuktikan kegagalan SPRM dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selama ini.

Tan Sri Dzulkifli tidak perlu berdolak dalik dengan menyalahkan data CPI TI-M atau mencadangkan mewujudkan indeks rasuah khas ‘ala SPRM’.

Cadangan beliau bukan boleh selesaikan masalah, tetapi sekadar melarikan diri dari masalah. Sepatutnya beliau fokus dengan masalah yang dibangkitkan, iaitu selesaikan kes-kes berat yang menyebabkan rasuah negara jatuh merudum dan bukan untuk melarikan diri.

Apa yang SPRM lakukan hanya majlis tandatangan dan ikrar bebas dan lawan rasuah sedangkan sebahagian yang berikrar adalah perasuah.

Penyumbang terbesar kejatuhan CPI negara adalah dengan membiarkan perasuah memimpin negara dan berikrar lawan serta bebas rasuah diwaktu mereka itu adalah pemakan najis rasuah.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh SPRM ialah tindakan kepada perasuah negara bukannya meminta perasuah berkuasa berikrar lawan rasuah.

Ambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin berprofil tinggi termasuk mereka yang berjawatan menteri hatta Perdana Menteri sendiri.

Jangan hanya garang dan agresif terhadap penjawat awam, pemimpin pembangkang dan ahli politik pertengahan* tetapi apabila berhadapan dengan pembesar utama negara, SPRM ‘kecut perut’ dan diam membisu.

Sikap berpilih-pilih SPRM terhadap rasuah menjadi sebab indeks rasuah negara jatuh merudum walaupun mereka menangkap beratus orang sehari tetapi membiarkan perasuah kekal sebagai MO1.

SPRM perlu buktikan kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia bebas dari kepompong pemimpin klaptokrat, korup, menindas, menyeleweng, rasuah dan salah guna kuasa*.

SPRM mesti tegas dan bertindak adil kepada semua pihak, tanpa mengira siapa dan latar belakang mereka.

Tidak ada nilai Malaysia menjadi sebuah negara maju atau membangun, tetapi dari sudut integriti kualiti Malaysia sama seperti negara dunia ketiga sahaja.

Jika Malaysia berterusan dalam keadaan begini, bukan CPI ala SPRM yang perlu dibentuk, tetapi *’SPRM baru’ dengan struktur, peranan, tanggungjawab yang lebih telus dan bebas perlu dibentuk.

Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan reformasi institusi menyeluruh dalam tempoh 100 hari apabila PH mendapat mandat rakyat memerintah Malaysia untuk memerangi rasuah tanpa pilih kasih.

Rakyat mesti bangkit dan menolak kerajaan kleptokrat yang bertanggugjawab terhadap hak-hak ketelusan dan integriti dalam tadbir urus kerajaan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik serta merosakan nama baik Malaysia.

Penulis adalah Ahli Parlimen Pokok Sena.

No comments:

Post a Comment