Saturday, February 17, 2018
PPBM akan tekan hingga SPRM dedah individu sogok ahli
Peguam parti, Haniff Khatri berkata SPRM belum membuat kenyataan tentang tangkapan yang didedahkan 5 Februari lalu.
PPBM akan terus menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengesahkan dan mendedahkan butiran siasatan seorang individu yang dikatakan ditahan kerana cuba menyogok ahli PPBM keluar parti.
Peguam parti, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sejak tangkapan itu didedahkan 5 Februari lalu, SPRM belum membuat kenyataan tentang perkembangan kes itu.
“Kenapa suspek tidak diambil prosiding reman dan dilepaskan oleh SPRM dan besar kemungkinan atas jaminan pihak SPRM.
“Bilakah SPRM akan panggil tertuduh untuk siasatan lanjut? Apakah kedudukan siasatan sebab pesuruhjaya SPRM Putrajaya sebelum ini kata mereka akan menyelesaikan siasatan sebelum hari raya Cina.
“Jika sudah siasat adakah kertas sisatan telah dimajukan kepada pihak pendakwaraya untuk didedahkan? Sehingga sekarang SPRM tidak membuat sebarang kenyataan berhubung status siasatan itu.
“Saya akan dedah apa yang perlu dan akan bertanyakan apa yang perlu kepada SPRM sehingga SPRM menyuarakan kebenaran. Sekarang ini saya tidak mahu menunding jari,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata pihaknya menghormati siasatan SPRM dan meminta badan anti-rasuah itu mengesahkan tangkapan itu.
“Kami cuma nak tahu berani ke mereka nak kata tidak ada tangkapan. Kalau tidak ada tangkapan beritahu kami dan kami akan buktikan bahawa sebenarnya ada tangkapan.
“Kedua kalau mereka kata tengah siasat beritahu apa kedudukan suspek dan kenapa tidak direman. Jika SPRM terus berdiam diri di mana akhir sekali kami akan ambil tindakan yang dibenarkan undang-undang,” katanya, tanpa mahu mendedahkan tindakan yang dirancang itu.
Haniff mengingatkan bahawa SPRM tidak keberatan mendedahkan kepada umum akan tangkapan terhadap pemimpin PPBM, Mohd Zahid Md Arip dan penahanan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.
“Kenapa dalam kes ini suspek ditangkap semasa suapan diberikan dan kemudian dilepaskan,” soalnya.
Haniff sebelum ini memberi tempoh 48 jam kepada SPRM untuk mendedahkan individu yang didakwa ditahan kerana cuba menyogok pemimpin serta ahli PPBM meninggalkan parti itu.
Pada 5 Februari lalu, Ketua Wanita PPBM Rina Mohd Harun mendakwa ada pihak menawarkan imbuhan kepada seorang ahli untuk mengadakan sidang media memburukkan parti itu.
Katanya, ahli itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan menyerahkan bukti kepadanya.
Beliau mendakwa pihaknya kemudian membuat laporan bersama bukti kepada SPRM dan dimaklumkan suruhanjaya itu sudah menahan suspek terbabit.
Keesokannya, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan individu yang ditahan itu ialah seorang bekas pemimpin PPBM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi FMT pada hari sama berkata, beliau akan menyemak jika ada kes sedemikian.
“Kami ada lagi maklumat lain dari siasatan kami sendiri. Macam mana kami nak buat laporan terus kepada SPRM sedangkan kes yang kami rujuk kepada SPRM ini mereka masih bisu?” kata Haniff.
“Kalau SPRM tidak tahu untuk nak kota janji bendung rasuah macam mana kami nak percaya intergriti mereka?” katanya.
PPBM beri SPRM 48 jam dedah individu sogok ahli keluar parti ~ Freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment