Sunday, February 18, 2018

Tanda tanya apabila Tabung Haji umum hibah tinggi tapi bayar baki minimum tahunan..!


A KADIR JASIN
18 FEBRUARI 2018

TINDAKAN Tabung Haji (TH) mengumumkan kadar hibah yang lebih tinggi bagi tahun kewangan 2017 adalah tidak memeranjatkan.

Malah memang dijangkakan kerana adalah kebiasaan bagi tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan membayar dividen lebih tinggi pada tahun pilihan raya.

Pada 7 Februari TH mengumumkan hibah 4.50 peratus bagi semua pendeposit dan hibah haji 1.75 peratus bagi pendeposit yang belum menunaikan haji.

Apa yang memeranjatkan adalah serentak dengan pengumuman kadar hibah lebih yang lebih baik itu, TH tiba-tiba meminda kaedah kiraan yang sekali gus menyebabkan pendeposit mendapat bayaran lebih rendah walaupun peratusan hibah lebih tinggi.

Ini kerana kiraan hibah diasaskan kepada baki minimum tahunan sedangkan kaedah lazim adalah berdasarkan baki minimum bulanan.


Kaedah baki minimum tahunan ini merugikan pendeposit kerana jumlah hibah diasaskan kepada jumlah paling rendah dalam akaun pendeposit dalam tahun 2017.

Formula ini merugikan pendeposit yang menambah atau mengeluarkan simpanan dalam tempoh satu-satu tahun kewangan.

Bagaimanapun, setelah hal tersebut disedari dan dibincangkan secara meluas oleh penggiat media sosial, TH secara diam-diam berpatah balik kepada kiraan asal iaitu berdasarkan baki minimum bulanan.

Apabila pengumuman asal dibuat pada 7 Februari di Putrajaya ia dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan TH. Tetapi berita pengembalian kepada formula asal hanya dihebahkan melalui kenyataan akhbar.

Tindak-tanduk luar biasa itu menimbulkan tanda tanya mengenai apakah muslihat sebenar lembaga pengarah dan pengurusan TH mengisytiharkan kadar hibah yang lebih baik tetapi menggunakan formula kiraan yang mengurangkan pendapatan penyimpan.

Antara lain, tindakan mereka membawa kembali ingatan kita kepada berita hangat tahun 2016 mengenai surat Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang memberi amaran berkenaan kedudukan kewangan TH.

Walaupun TH bukan di bawah pengawasan Bank Negara, tetapi Zeti telah mengambil inisiatif mengkaji kedudukan kewangannya. Ramai daripada kita tentu tahu bahawa TH adalah hasil cadangan bapa Zeti, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.

Dalam suratnya kepada TH pada tahun 2015, Zeti telah memberi ingatan mengenai tanggungan hutang TH yang melebihi hartanya.

Dalam surat bertanggal 23 Disember 2015 itu, Zeti memberitahu Pengerusi TH, (Datuk Seri) Abdul Azeez Abdul Rahim, bahawa TH hanya mempunyai harta sebanyak 98 sen bagi setiap RM1 tanggungan.

Sejak tarikh amaran Zeti hingga ke hari ini, kita tahu bahawa banyak masalah telah melanda TH akibat pelaburan yang bermasalah, khususnya dalam sektor minyak dan gas.

Misalnya bagi separuh tahun 2017 berakhir Jun, TH Heavy Engineering Berhad (THHE) yang terbabit dalam industri minyak dan gas memperoleh hasil sebanyak RM4.63 juta dan menderita kerugian RM37.97 juta.

Pada akhir bulan tersebut, ia mempunyai wang tunai RM22.4 juta sedangkan hutang jangka pendek berjumlah RM295.1 juta dan hutang jangka panjang RM55.12 juta. Kerugian terkumpul berjumlah RM532.64 juta.

Sementara itu sahamnya pula jatuh merudum daripada RM1.90 pada 15 Februari 2008 kepada hanya sembilan sen pada 14 Februari 2018.

Apa pun keadaan sebenar yang sedang berlaku di TH, sama ada diketahui umum atau tidak, kesan mutakhirnya kepada masyarakat Islam Malaysia tidak boleh dipandang ringan.

Bukan sahaja kewangan umat Islam, khususnya yang menyimpan untuk menunaikan haji, tetapi juga imej pentadbiran dan pengurusan Islam akan menjadi punca pertikaian.

Walaupun TH bukanlah tabung pelaburan berkaitan kerajaan yang paling besar, namun ia adalah yang tertua dan terpenting dalam penjanaan ekonomi Islam serta pengurusan jemaah haji. Apa juga perkara negatif yang berlaku kepadanya akan membawa nama buruk kepada umat Islam Malaysia.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment