Saturday, March 17, 2018

Kenapa Aku Tolak GST..!?

KENAPA AKU TOLAK GST?

Kawan aku tanya, “Kamu nak Malaysia jadi negara maju. Di negara-negara maju, mereka laksanakan GST. Tapi bila Malaysia laksana GST kamu bantah. Kenapa?”. Ini jawapan aku:

1. Dari 12 juta pekerja di Malaysia, tidak sampai 3 juta yang membayar cukai pendapatan. Mereka yang tidak membayar cukai itu sebenarnya tidak layak bayar cukai pendapatan kerana mereka berpendapatan rendah. Dalam bahasa ekonomi, mereka tidak mempunyai ‘disposable income’ (lebihan pendapatan) untuk membayar cukai. Maka, ini bermakna lebih 70% rakyat Malaysia berpendapatan rendah, tidak mempunyai lebihan pendapatan untuk menyara hidup, dan oleh itu mereka dikategorikan sebagai tidak layak membayar cukai pendapatan.

2. Di negara-negara maju yang melaksanakan GST, keadaan adalah sebaliknya. Lebih 70% rakyat mereka berpendapatan tinggi, mempunyai ‘disposable income’, dan layak membayar cukai pendapatan.

3. GST adalah bentuk cukai yang dikenakan ke atas perbelanjaan rakyat. Sistem cukai GST memaksa golongan yang berpendapatan rendah untuk membayar cukai. Sekiranya kebanyakan dari rakyat tergolong dalam kategori ini, memaksakan cukai ke atas golongan berpendapatan rendah sangat menjejaskan kehidupan dan sosio-ekonomi rakyat secara keseluruhan.


4. Katakan anda tergolong dalam kategori yang berpendapatan rendah. Pendapatan anda ialah RM100 sehari. Anda tidak mempunyai ‘disposable income’. Anda akan membelanjakan kesemua RM100 dari pendapatan anda untuk menyara hidup. Apabila 6% GST dikenakan ke atas anda, wang yang anda boleh belanjakan hanya tinggal RM94 sahaja. Kuasa membeli turun 6%. Dalam skala besar, ini diterjemahkan sebagai penguncupan ekonomi secara langsung. Aktiviti perniagaan akan menurun dan kelembapan ekonomi akan berlaku. Inilah yang berlaku apabila anda memaksakan GST ke atas rakyat yang lebih 70% darinya adalah berpendapatan rendah. Ini juga dapat dijelaskan dengan dapatan yang menyebutkan sekitar 76% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi. Pendapatan mereka sekadar cukup untuk hidup. Mengenakan cukai perbelanjaan ke atas golongan ini bukan sahaja sangat membebankan mereka, tetapi boleh menyebabkan penguncupan ekonomi dalam skala yang lebih besar.

5. Kesan ini tidak ketara di negara maju yang lebih 70% rakyatnya membayar cukai pendapatan. Mereka mempunyai ‘disposable income’. Contohnya, mereka meraih pendapatan RM250 sehari dan mereka hanya perlu membelanjakan RM150 sahaja untuk menyara hidup. Dengan itu, mereka mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM100. Dengan mengenakan GST 6% ke atas mereka, jumlah perbelanjaan mereka akan meningkat kepada RM159, dan lebihan pendapatan mereka tinggal RM91. Dalam skala besar, ini tidak membawa kepada pengurangan perbelanjaan dan ekonomi tidak menguncup. Perniagaan berlaku seperti biasa dan tiada penguncupan ekonomi. Di sinilah perbezaan kesan GST di Malaysia berbanding di negara-negara maju.

6. Pemerintah wajar mencari jalan meningkatkan pendapatan rakyat dengan menjana aktiviti ekonomi yang lebih berdaya maju bagi meningkatkan pendapatan rakyat sebelum sistem cukai seperti GST dilaksanakan.

Jamzuri Ardani

1 comment:

  1. Di negara maju, perbelanjaan oleh kerajaan dibentang dgn telus dan rakyat dpt melihat dgn jelas kemana duit yg dicukaikan ke atas mereka digunakan...mereka dpt melihat bgaimana wang cukai itu dikembalikan utk kebaikan rakyat dgn itu mereka dgn senang hati membyar cukai walaupun pd kadar yg agak tinggi...

    ReplyDelete