PRU14 | Ada ribuan orang yang turun menyaksikan ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Guar Chempedak yang terletak di dalam negeri Jelapang Padi malam tadi.
Anak kelahiran negeri itu yang pernah menjadi perdana menteri - dan kini menjadi pengerusi HARAPAN - Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang daripada penceramah yang ditampilkan.
Bagi salah seorang pemimpin DAP, jumlah kehadiran itu mencecah 15,000 orang dan ia membayangkan tsunami pengundi Melayu yang akan diterjemah melalui peti undi tidak lama lagi.
Apabila pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan tidak lama lagi, anggota parlimen Kluang Liew Chin Tong yakin pola tsunami pengundi Melayu itu akan melanda ke seluruh Malaysia.
"Dengan tekanan politik yang ada, orang ramai masih sanggup menghadiri ceramah HARAPAN walaupun hujan berjam-jam.
"Setiap seorang daripada mereka mereka mungkin boleh mempengaruhi lima individu lain apabila pulang ke rumah.
"Program besar-besaran ini boleh menjadi penanda aras buat kita, terutamanya apabila media tidak melaporkan (program HARAPAN)," kata Liew dalam satu kenyataan.
Liew juga menyatakan kehadiran orang Melayu di majlis ceramah HARAPAN di kawasan luar bandar dan kubu Umno juga menunjukkan keadaan sama.
Sambutan sebegitu katanya tidak pernah dibayangkan pada masa lalu.
"Media berbahasa Cina dan The Star - yang dikuasai MCA - selalu menafikan berlaku tsunami Melayu. Mereka juga menemu ramah pemimpin Melayu bagi menafikan wujudnya perubahan berkenaan.
"Sebagai ahli politik pertama yagn membangkitkan isu tsunami Melayu, saya tertanya-tanya mengapa mereka (media terbabit) tidak pernah menghubungi saya (untuk mendapatkan pandangan)?" katanya.
Ajak ke Perlis pula
Liew yang juga pengerusi DAP Johor berkata dia membangkitkan kemungkinan berlaku tsunami berkenaan pada 2015 dan ketika itu wujud kelompangan kepimpinan Melayu.
"(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib terpalit dengan skandal, presiden PAS cenderung kepada Najib dan pemimpin umum HARAPAN dipenjara," katanya.
Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP itu menambah perdana menteri tidak mengendahkan kesulitan dialami rakyat dan tetap melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Jika pembangkang boleh mendapat tambahan 15 peratus undi Melayu yang menyokong BN pada PRU ke-13 lalu serta mengekalkan tahap sokongan pengundi Cina dan India, maka BN akan kehilangan sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia kali ini," katanya.
Menurut Liew, pengundi di kalangan petani yang berada di kawasan separa bandar yang akan menunjukkan perubahan ketara dengan memberikan sokongan kepada HARAPAN kali ini.
Sementara itu mengulas mengenai sokongan ditunjukkan orang Kedah malam tadi Dr Mahathir berkata rakyat memang sudah menunjukkan kesediaan mereka untuk berubah.
"Terima kasih Kedah. Parlimen belum dibubarkan, tetapi rakyat sudah bersedia untuk berubah. Bangkitlah demi masa depan Malaysia," katanya.
Dr Mahathir juga mengajak orang ramai menunjukkan sokongan sama pada ceramah HARAPAN yang akan diadakan di Perlis pula malam ini.
"Semalam di Kedah, malam ni Gunung Medan Utan Aji, Perlis. Jumpa di sana," katanya melalui Facebook.
No comments:
Post a Comment