Saturday, April 14, 2018

Felda Bukit Tangga Kubang Pasu 'hidup' dengan kehadiran Dr M

 
Terletak di pedalaman Kubang Pasu, 109km dari Pulau Pinang, perjalanan ke Felda Bukit Tangga malam tadi ditemani suasana sepi dan gelap, kerana tidak ada lampu jalan di sepanjang perjalanan itu.

Tetapi tanah rancangan Felda di Bukit Kayu Hitam itu menjadi 'hidup' malam tadi dengan kehadiran pemimpin BERSATU, terutamanya pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang dalam jelajah "Selamatkan Felda, Selamatkan Malaysia", sekitar Kedah minggu ini.

Tidak kelihatan bendera BERSATU walaupun para pemimpinnya memakai pakaian merah seragam parti itu, tetapi bendera mata biru PKR berkibar di tempat ceramah itu.

Sekutu HARAPAN termasuk AMANAH dan DAP telah memutuskan untuk menggunakan bendera biru PKR selepas BERSATU dibubar sementara oleh Pendaftar Pertubuhan, dan sekaligus mengakhiri hasrat mereka untuk menggunakan satu logo HARAPAN.


Persoalan yang timbul ialah mengapa tanah rancangan itu telah diabaikan selama enam dekad walaupun Dr Mahathir, bekas ahli Parlimen mereka adalah perdana menteri selama 22 tahun dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi menteri besar Kedah dari 2013 hingga 2015.

Tetapi penduduk yang serba sederhana itu nampaknya tidak pernah berkecil hati dan menyambut meriah pengerusi Pakatan Harapan itu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Hashim, dan Mukhriz dengan sorakan kuat ketika mereka tiba di ceramah itu selepas pukul 9 malam tadi.

Mengiringi ketiga-tiga mereka ialah bekas pemimpin PAS, Datuk Amiruddin Hamzah, yang keluar parti Islam itu untuk menyertai BERSATU tahun lepas dan ahli jawatankuasa pusat parti itu dan bekas pembantu pengerusi Felda, Zahid Md Arif.

ADUN Derga dari DAP Tan Kok Yew dan penyandang Ahli Parlimen Alor Setar dari PKR, Gooi Hsiao Leung adalah antara yang hadir.

Hadirian kebanyakannya orang Melayu campuran peneroka Felda lama dan muda, keluarga mereka dan orang luar, yang datang dari Alor Setar dan Perlis.

Hadirian sekitar 2,000 orang tekun mendengar ceramah hingga selesai dan turut memberi respons kepada penceramah yang mengghujani kritikan terhadap Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka bergemuruh melaungkan mengikut Mukhriz yang menyebut "Pakat aleh bagi elok".

Mereka bersorak apabila Dr Mahathir menegaskan bahawa HARAPAN akan menghapuskan GST sekiranya dapat menewaskan BN dalam pilihan raya ke-14.

Mereka ketawa ketika Mahathir menyindir Najib yang didakwanya cuba membodohkan rakyat dengan berbangga bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik, sedangkan menurutnya, telah menjadi pengetahuan umum bahawa negara menanggung hutang.

Malaysiakini bercakap dengan beberapa orang penduduk yang datang untuk melihat "Tun" dan ramai yang gembira beliau kembali aktif dalam senario politik negara, namun ada yang asangan menyuarakan kebimbangan sama ada Dr Mahathir dan sekutunya boleh dipercayai.

Hashinah Umar, yang datang ke ceramah itu, bersama anak perempuannya dan cucunya berpendapat Dr Mahathir mampu memimpin pembangkang untuk mencapai kemenangan dalam PRU14.

"Kami akan menyokongnya seperti yang kami lakukan bertahun-tahun yang lalu...," kata suri rumah berusia 60 tahun itu yang berpakaian baju kurung dan bertudung hitam.

Ditanya mengapa dia memutuskan untuk tidak menyokong Najib, Hashinah menjawab: "Saya tak suka dia, saya tak pernah nampak dia di sini."

Hashinah, yang mempunyai enam orang anak, dan telah menetap di tanah rancangan Felda itu selama 60 tahun, menambah, begitu juga dengan anak-anaknya.

Bagaimanapun, Ong Somchai, seorang petani, menimbulkan kebimbangan mengenai penyertaaan Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan, sambil berkata walaupun dia dapat menarik orang Melayu, tetapi tiada jaminan pemimpin BERSATU yang menang pilihan raya tidak akan melompat ke Umno.

"Ia ada dalam DNA mereka dan kami bimbang," kata Ong, yang tinggal di daerah utara negeri itu sejak sedekad lalu.

"Kami diberitahu kem lain hanya menunggu untuk membeli mereka, berapa ramai yang dapat menahan cabaran ini?" Dia tanya.

"Bagaimanapun, kami berharap ramai yang akan balik untuk mengundi supaya kita dapat melihat perubahan di negara ini," tambahnya yang berusia 40 tahun itu.

Manakala Ketua Wanita PKR Perlis, Fuziah Hamzah nampak yakin dengan kemampuan HARAPAN menawan negeri kelahiran Dr Mahathir itu - dengan meramalkan 70 peratus peluang untuk menang.

"Kami telah bekerja sepanjang masa dan gembira dengan sambutan akar umbi yang sangat menggalakkan," katanya.

Malaysia akan mengundi pada 9 Mei, manakala hari penamaan calon ialah 28 April.

No comments:

Post a Comment