Thursday, April 5, 2018

Nazri: PPBM parti nyamuk, pembubaran tak beri kesan

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa pembatalan pendaftaran PPBM tidaklah begitu penting kerana mereka hanya parti nyamuk.

Ditanya sama ada pembatalan pendaftaran PPBM akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14, Nazri mengatakan “tidak sama sekali”.

“Apa perasaan kamu bila digigit nyamuk? Sedap digaru,” katanya selepas melancarkan Pelancongan Pintar Malaysia 4.0.

Beliau mendakwa pembatalan pendaftaran PPBM tidak memberikan apa-apa kesan kepada BN.

“Tiada kesan kepada kami. Pengundi sudah membuat keputusan.

“Kami mahu menang dalam satu pertarungan yang hebat dan bukan kerana pendaftaran mana-mana parti dibatalkan.”

Nazri berkata lagipun PPBM yang menentukan apa yang perlu dimasukkan dalam perlembagaan parti itu.

“Perlembagaan parti dirumuskan oleh mereka yang mencipta parti itu. Tiada orang paksa kamu masukkan apa-apa pun. Kamu yang tetapkan dan kamu mesti patuhi undang-undang.


“Apa yang mereka masukkan itu satu keperluan bagi mana-mana parti yang sah di negara ini dan oleh itu kamu mestilah patuhinya.”

Beliau berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhak membatalkan pendaftaran parti itu, “terutama selepas akar umbi parti itu sendiri membuat aduan”.

“Saya faham mengapa Pakatan Harapan tidak dapat didaftarkan kerana isu pandaftaran salah satu parti anggota mereka.

“Kamu perlu patuhi undang-undang. Kita harus ingat Umno juga pernah diisytiharkan haram kerana gagal mematuhi perlembagaan parti.”

JPPM hari ini mengarahkan pembubaran sementara PPBM, menurut sumber parti yang mengesahkan menerima surat mengenai perkara itu hari ini.

Surat itu dipercayai berkait dengan kegagalan parti itu membekalkan dokumen di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini.

Dokumen itu ada kaitan dengan notis JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

Ia susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.

JPPM akan membuat pengumuman rasmi hari ini.

Perkembangan ini timbul di tengah-tengah spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan esok bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beberapa jam terdahulu, pimpinan PH berkata mereka bersetuju untuk menggunakan lambang bersama pada PRU14 nanti.

Gabungan itu berkata mereka sedang mempertimbangkan antara lambang PKR, DAP dan Amanah dan keputusan akan diumumkan di satu himpunan di Johor esok.

No comments:

Post a Comment