Monday, April 16, 2018

'Patutnya Mahathir berkhidmat di Klinik 1Malaysia, bukan ke Langkawi'

Di mata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tun Dr Mahathir lebih sesuai berkhidmat di Klinik 1Malaysia berbanding menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Berucap di majlis merasmikan sebatang titi di Juru, Pulau Pinang presiden PAS itu berkata beliau bersimpati kepada bekas perdana menteri itu kerana masih terbabit dalam politik ketika berusia lebih 90 tahun.

Kata Abdul Hadi sebagai seorang warga emas Dr Mahathir masih gemar "bercakap" dalam semua hal dan mendakwa ia termasuk dalam bab agama.

"Dia ni dia nak cakap belaka. Agama nak bercakap, politik nak bercakap. Bab agama - Quran (dia) tak boleh terima semua, hadis tak boleh pakai, macam-macam," katanya.

Justeru kata Abdul Hadi PAS menganggap Dr Mahathir sebagai orang tua yang "perlu diilmukan".

"Patutnya dia - seorang doktor - kerja di Klinik 1Malaysia bagi rawatan percuma, buat kebajikan.

"Ini, suruh bertanding (dalam PRU), kesian dia," katanya dengan nada ketawa.

Ucapan itu disiarkan secara langsung di Facebook Abdul Hadi.


Menyedari Dr Mahathir diletakkan menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Langkawi, Abdul Hadi berkata PAS tidak akan membiarkan ia berlalu begitu saja.

Katanya PAS akan melawan Dr Mahathir - serta BN - bagi kerusi berkenaan dengan meletakkan calon yang "bertenaga" dan kuat bagi mewakili parti itu atau Gagasan Sejahtera.

Malam tadi Malaysiakini melaporkan HARAPAN mempertaruhkan Dr Mahathir di kerusi Langkawi dalam usaha mereka mengetepikan BN dari Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat Presiden HARAPAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Guna bidalan jelaskan keadaan

Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN jika gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi Dewan Rakyat pada PRU ke-14 yang akan diadakan pada 9 Mei ini.

Pada masa sama PAS sangat yakin mereka mampu membentuk kerajaan pusat dan sudah mengesahkan mereka bakal meletakkan calon di 150 kerusi parlimen kali ini.

Pengumuman itu dibuat ketika PAS dilihat terus lunak terhadap Umno dan lebih banyak menyerang HARAPAN. Namun pada masa sama PAS menegaskan mereka masih parti pembangkang cuma beramal dengan dasar matang dan sejahtera.

Langkawi dianggap satu daripada kerusi paling berpotensi buat Dr Mahathir kerana beliau banyak berperanan membangunkan pulau itu menjadi sebuah pusat pelancongan yang terkenal.

Mengenai percaturan HARAPAN mencalonkan Dr Mahathir, Abdul Hadi - seperti selalu - menjelaskan keadaan itu dengan bidalan menarik.

Kata anggota parlimen Marang berkenaan Dr Mahathir pernah menjadi "ketua pasukan bola sepak Umno" sebelum dilantik menjadi "jurulatih".

"Semasa dia jadi ketua pasukanlah dia rosakkan Umno. Umno jadi macam-macam.

"Lepas tu jadi jurulatih - teruk juga Umno.

"Tiba-tiba HARAPAN ambil dia jadi pemain bola. Jurulatih yang umur dah 90 tahun disuruh main bola - kesianlah ke dia. Patutnya janganlah," katanya disambut ketawa orang ramai yang mendengar ucapannya.

Baca Hadi: PAS kuat, bukan parti 'Mat Jenin'

Kata Abdul Hadi, sepatutnya Mahathir "jangan layan sangat budak-budak dan cucu-cucu" yang memintanya bertanding dalam PRU kali ini.

Sebelum itu Abdul Hadi berkata, dia tergerak untuk mengulas mengenai pencalonan Dr Mahathir di Langkawi malam tadi.

Katanya beliau mahu memberikan pandangan dan bukan mengata walaupun pengerusi HARAPAN itu pernah mengata PAS dengan bermacam kenyataan.

"Orang surat khabar, catit molek-molek (baik-baik)," katanya.

No comments:

Post a Comment