Friday, April 27, 2018

Puad: Muafakat Johor Khaled umpama sampah

Saya tahu ramai yang akan mengecam saya kerana posting terbaru ini. Saya tidak akan menjawab komen balas mereka. Yang penting saya mendedahkan apa yang ada dalam hati nurani saya. Lagi pun saya sudah mengatakan “I will fight until the last drop”.

Orang akan kata saya kecewa dan marah. Katakanlah apa sahaja. Itulah sahaja tuduhan yang mereka ada sedangkan saya ada keberanian mengkritik apa yang saya yakini kemungkaran sistem yang rosak.

Saya tidak mengkritik 'Umno Perjuangan'. Sebab itu saya meletak jawatan sebagai KP JASA kerana saya ada keyakinan diri. Kini saya tidak terikat dengan apa apa.

Datuk Seri Khaled Nordin menjadikan “Muafakat Johor” juga umpama sampah. Team Johor sebenarnya adalah Team Khaled. Akhirnya pemilihan calon lebih menjurus kepada kronisme dan persiapan untuk menghadapi pemilihan parti akan datang.

Orang yang bersama beliau mengkritik Datuk Seri Najib Razak dalam grup Whatsapp semuanya kekal sebagai calon. Ada antara mereka berani menuntut Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Kenapa saya kata begitu. Kalau betul muafakat, kenapa tidak dirundingi Umno Bahagian dalam pemilihan calon. Ini yang berlaku di Parlimen Batu Pahat. Ketua Bahagian tidak dirundingi.

Khaled sesuka hati mengubah senarai calon bukan lagi berasaskan merit tetapi pertimbangan sokongan politik dan persaingan dalam parti.

Bayangkan Syarifah Azizah Syed Zain dari Bahagian Keluang boleh bertanding di DUN Penawar Parlimen Penggerang. Apa jasa Syarifah di sana?

Apa khidmat yang dia telah lakukan untuk mendekati pengundi sebelum menjadi calon.

Kawasan difaraidkan sesama mereka

Kenapa orang yang menghabiskan masanya di kawasannya sendiri dengan begitu mudah diketepikan?

Apakah Khaled mengamalkan muafakat Johor? Apakah Khaled yakin silent protest tidak akan berlaku.

Begitu juga Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu setiausaha politik kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang merupakan ahli Umno di Bahagian Sembrong, boleh pula berpindah dan bertanding di DUN Layang Layang dalam Parlimen Simpang Renggam. Di mana muafakatnya?

Begitu mudah kawasan-kawasan ini difaraidkan sesama mereka semata-mata mengisi keperluan strategi politik masing masing.

Gambar calon atas katil

Begitu juga di DUN Serom, senarai juga berubah di saat akhir kerana memenuhi amalan kronisme yang tidak terkawal. Ketua Wanita Bahagian pada mulanya dicalonkan untuk memenuhi kuota Wanita tetapi dimangsakan oleh mereka yang ada kuasa mengubah.

Sebab itu saya kata sistem kita sudah rosak oleh mereka yang mengatakan sistem kali ini terbaik. Sehingga ada calon yang gambarnya di atas katil bersama perempuan bukan mahram juga terpilih sebagai calon.

Seperti yang sebut diawal tadi, jangan marah dengan apa yang saya tulis ini. Kalau tidak anda adalah double standard kerana menuduh saya marah tetapi anda pula marah kerana kritikan saya.

Saya tidak terikat apa-apa. Sebab itu keputusan saya meletak jawatan ketua pengarah JASA adalah tepat.

Saya tetap tabah tetapi semakin berani dengan ujian ini.


DATUK MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

No comments:

Post a Comment