Sunday, April 22, 2018

‘Undi Pas sama dengan undi BN, undi BN sama dengan undi Jho Low’

Rakyat yang mahukan perubahan diingatkan tidak memangkah lambang bulan atau dacing di kertas undi pada 9 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengundi Pas atau Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 sama sekali tidak menguntungkan rakyat.

“Rugi kalau undi Pas. Undi ini sama dengan undi BN.

“Ini bukan satu pilihan,” tegasnya sambil menunjukkan logo Pas pada paparan skrin.

Beliau berkata demikian dalam ceramah Jelajah Felda Selamatkan Felda di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johol, Negeri Sembilan malam tadi.

Sejurus itu, lambang dacing kemudiannya terpampang spontan mengundang sorakan ‘booo’ kira-kira 10,000 hadirin.

Jeling pun jangan logo bulan dan dacing ini, kata Saifuidn Nasution.


“Jeling pun jangan (logo BN). Kepada orang Umno, satu saja pesanan.

“Setiap undi bererti undi kepada Jho Low.

“Cukuplah. Lama sangat dah. Kita bagi BN berehat. Kita mengenang 60 tahun dia bekerja kuat.

“Jadi, kita rehatkan dia untuk lima tahun,” katanya di Air Mawang yang terletak di bawah Parlimen Kuala Pilah.

Sebaik logo PKR muncul, beliau mengingatkan lambang yang sinonim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah mewakili Pakatan Harapan (PH).

“Ini simbol gabungan empat parti selepas permohonan kita untuk satu logo yang sama tidak diluluskan.

“Pilihan raya kali ini, rakyat lawan Umno-BN.

“Dalam kertas undi ialah hitam putih. Tiada warna biru muda. Jangan salah pangkah bulan,” ujarnya sekali lagi melarang daripada mengundi Pas.

Saifuddin selanjutnya berkata, pilihan tepat pada 9 Mei akan membolehkan PH mendapat mandat di Putrajaya.

“Dapat kertas undi nanti, pada yang Muslim, baca Bismillah sebut ‘undi aku ini untuk masa depan yang lebih balik.’

“Ini supaya pada pagi 10 Mei nanti – Selamat Pagi Putrajaya,” tambahnya diikuti paparan skrin menayangkan wajah Tun Mahathir, Anwar bersama Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Hampir RM6,000 kutipan sumbangan orang ramai diperoleh dalam siri jelajah yang berakhir pada jam 11.40 malam tadi.

Untuk rekod, terdapat 557,137 pemilih berdaftar di Negeri Sembilan bakal membuang undi pada 9 Mei ini.

No comments:

Post a Comment