Monday, May 21, 2018
'Jangan ulangi kesilapan BN'
ROSLINDA HASHIM
20 MEI 2018
ALOR SETAR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) agar tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu pimpinan BN yang ditolak rakyat selepas gagal urus negara dengan baik.
Katanya, kesilapan itu wajar dijadikan tauladan agar pimpinan Harapan dapat menerajui negara dengan lebih baik.
Menurutnya, rakyat kini bijak menilai dan penilaian itu akan diterjemah rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya ingin mengingatkan, kita tidak boleh ulangi kesilapan lalu yang dibuat kerajaan BN sebelum ini, rakyat akan menilai dan akan tolak pemimpin yang dilihat tiada integriti serta tidak jujur dalam mengurus negara,” katanya.
Amanat itu dikongsi Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar ketika menziarahi Anwar di rumahnya, di Segambut, baru-baru ini.
Hadir sama beberapa pimpinan Amanah serta Penasihat parti itu, Ahmad Awang.
Mahfuz berkata, Anwar turut menekankan kepentingan setiap parti yang bergabung bawah Harapan supaya memainkan peranan masing-masing dalam kerajaan baharu, sama ada peringkat Pusat mahupun negeri.
“Beliau berharap Amanah dan PKR rapatkan hubungan kerjasama lebih baik bagi pastikan kedudukan Amanah lebih kukuh dan diberikan lebih peranan walaupun PKR menang majoriti besar pada PRU14. Anwar mahu PKR bantu Amanah perkukuhkan peranan dalam kerajaan,” katanya.
Menurutnya, aspek lain yang turut dibincangkan adalah pandangan berhubung beberapa perkara berkaitan pembinaan semula Malaysia.
Mahfuz berkata, pada pertemuan itu, Anwar sempat mengimbas kenangan pahit melibatkan beliau dengan dirinya.
“Ketika Anwar dalam kerajaan BN sebelum ini, saya ditahan bawah ISA selama dua tahun (1987-1989) menerusi Op Lalang. Selepas bebas, saya ziarah Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Tuan Guru Haji Yusof Rawa. Kebetulan kami bertembung dan saya sifatkan Anwar turut terlibat dalam penahanan saya,” katanya.
Namun, katanya, Anwar bijak menangani situasi dan sekadar berseloroh, mengatakan insiden itu kembali menyambung persahabatan mereka.
“Anwar akui saya dan Allahyarham Fadzil Noor antara penggerak Gerakan Rakyat menuntut keadilan terhadap dirinya apabila dipecat dan ditahan,” katanya.
Mahfuz berkata, Anwar dan Fadzil berkawan rapat ketika itu kerana ketika Anwar menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadzil merupakan timbalannya.
“Fadzil adalah pemimpin Pas terawal yang hadir ke rumah Anwar selepas dipecat walaupun tidak disukai sebahagian besar pimpinan Pas, namun tetap kunjungi atas dasar persahabatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment