Tuesday, May 1, 2018

Selepas abang doakan kejayaan, Nik Abduh balas dengan kecaman "Air Mani Terbuang"

Selepas abang doakan kejayaan, Nik Abduh balas dengan kecaman
Oleh ARIF ATAN


Nik Omar mendoakan kejayaan adiknya di Bachok tetapi dijawab kamu telah menikam jantung ibu.

Doa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dun Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz agar adiknya berjaya di Parlimen Bachok sebaliknya dibalas Nik Abduh dengan nada sindiran dan kecaman.

Dalam kenyataan Nik Abduh yang didakwa daripada mereka sekeluarga, beliau memberitahu ibu mereka, Datin Hajjah Tuan Sabariah Tuan Ishak akan berkempen untuk dirinya dan pada masa sama membantu kempen Pas di Dun Chempaka.

Mengundang kecaman orang ramai sejurus dimuat naik di Facebook, penyandang Parlimen Pasir Mas yang sudah ‘ditendang’ pada PRU-14 ini berkata, hati ibunya terluka sebanyak dua kali.

Pertama, jelasnya, ketika adik-beradiknya Nik Adli ditahan di bawah ISA dan terbaharu apabila Nik Omar bertanding di Dun Chempaka.

Menganggap keputusan Nik Omar bertanding mewakili PH pada penamaan calon, 28 April lalu sebagai “kemalangan”, Nik Abduh memohon maaf kepada jentera Pas di seluruh negara dan seluruh rakyat Malaysia.

“Ia sesuatu yang amat sukar. Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat tembakan yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lepas oleh seorang lelaki bernama Ikram.

“Dua hari lepas (penamaan calon 28 April), tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda.

“Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas tembakan pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan.

“Tun dan Ikram itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan Pas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan abang sulungnya supaya membaca kisah agung khalifah Islam yang dibai’ahkan oleh umat Islam selepas kematian Yazid bin Muawiyah, iaitu Abdullah Ibn al-Zubayr.

Nik Abduh juga mengingatkan Nik Omar memahami fiqh al-sahabiy al-jalil dalam memahami peranan seorang ibu dalam politik dan jihad.

“Ibu adalah menara kehidupan. Jangan bicara pasal ayahanda jika bonda tiada di sisi.

“Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang. Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina..,” tulisnya.

Ungkapan terakhir itu kemudiannya menyebabkan orang ramai menasihati Nik Abduh dan membandingkan nilai akhlak dan sikap berlapang dada Nik Omar yang jauh lebih baik berbanding adiknya.

No comments:

Post a Comment