Tuesday, June 12, 2018

Sindiket kemasukan pekerja asing, Datuk Seri jadi dalang?

 Datuk Seri jadi dalang?
ALOR SETAR - Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) mendedahkan terdapat seorang individu bergelar Datuk Seri didakwa menjadi dalang kepada sindiket kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh ke Malaysia.

Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, walaupun ada pihak menafikan kelulusan 1.5 juta pekerja Bangladesh telah dihentikan, tetapi setiap hari penerbangan dari Dhaka membawa ratusan pekerja dari Bangladesh yang diuruskan ejen-ejen dari negara itu dengan dibantu oleh ejen haram di negara ini.

“Sejak 15 tahun lalu Datuk Seri ini telah berkawan baik dengan ahli-ahli politik yang berkuasa. Apa yang beliau selalu katakan bahawa beliau mengambil wang untuk sistem kemasukan pekerja asing dari Bangladesh cuma RM350 setiap seorang.

“Padahal semua sedia maklum beliau mengambil RM15,000 setiap seorang pekerja asing dari Bangladesh. Sistem tersebut didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang diterajui beliau bersama seorang bekas menteri,” katanya.

Menurutnya, pihak ejen-ejen pekerja berdaftar Bangladesh telah menghantar memorandum kepada kedutaan negara itu yang menentang keras cara Datuk Seri berkenaan membawa masuk rakyat negara itu ke Malaysia.

“Dengan cara sedemikian ia menyebabkan buruh Bangladesh yang datang ke Malaysia terpaksa menanggung hutang yang banyak serta tertekan dengan kesusahan.

“Saya difahamkan, Datuk Seri ini telah meminta pemerintah dari negara itu untuk menulis surat sokongan kepada kerajaan Malaysia yang baharu supaya sistem yang digunakan syarikat tersebut dapat dilanjutkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus mengambil perhatian serius dalam perkara ini selaras dengan pendirian Pakatan Harapan untuk mengutamakan undang-undang bagi membasmi kesalahan pemimpin terdahulu.

“Jika ini berlarutan, maka tiada bezanya pemimpin yang terdahulu dengan baharu. Masih terdapat lagi orang dalam seperti pegawai bahagian tertentu yang masih membantu Datuk Seri berkenaan serta konco-konconya.

“Masih tiada tindakan yang diambil. Dalang semua ini adalah Datuk Seri tersebut. Saya harap pimpinan kerajaan yang baharu dapat membanteras habis-habisan sindiket ini.

“Saya mohon Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya bertindak dengan cepat daripada mereka terus memberi rasuah kepada kakitangan kerajaan dan majikan-majikan yang tamak serta tidak berperikemanusiaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment