Sunday, July 8, 2018

3 adun BN KEDAH - ‘Kami tak khianati parti’

 ‘Kami tak khianati parti’
ALOR SETAR - Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Datuk Suraya Yaacob (Adun Sungai Tiang) dan Datuk Norsabrina Mohd Noor (Adun Bandar Baharu) tegaskan mereka tidak akan sesekali mengkhianati parti apabila menyokong Speaker Dun Kedah.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, ketiga-tiga Adun berkenaan menyatakan komitmen untuk terus memperjuangkan suara parti berlandaskan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan rakyat secara keseluruhan, serta kepentingan Kedah.

Menurutnya, kenyataan ini merupakan penjelasan berhubung tindakan mereka memberi undi menyokong pelantikan Speaker daripada Pakatan Harapan (Harapan), susulan kritikan serta ketidakpuasan hati disuarakan terutama daripada ahli parti.

“Sejak dari awal merdeka lagi, setiap Adun BN mengamalkan konsep patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti untuk bertindak mengikut arahan yang dibuat secara konsensus, terutama ketika berdepan proses pengundian di Dun,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, hasil perbincangan pucuk pimpinan Pusat dan negeri memutuskan supaya ketiga-tiga Adun BN menyokong pelantikan Speaker Dun yang dicadangkan Harapan.


“Menjadi kewajipan kami untuk terjemahkan keputusan itu dan arahan pucuk pimpinan parti bagi pelantikan Speaker Dun. Adalah penting bagi setiap ahli politik BN mengutamakan pendirian pucuk pimpinan parti yang dipilih majoriti akar umbi dalam membuat keputusan dalam Sidang Dun,” katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan, kematangan politik amat diperlukan dalam kelancaran hal ehwal Persidangan Dun termasuk pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Kedah terjamin.

“Ia mungkin sukar difahami bagi mereka yang kurang matang dan terikut-ikut dengan sentimen emosi, namun bagi mereka yang lebih mementingkan kepentingan rakyat, mereka akan faham tentang keputusan pucuk pimpinan BN supaya tiga Adun BN menyokong pelantikan Speaker Dun Harapan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tiada arahan untuk bertindak berkecuali seperti yang dimahukan segelintir akar umbi parti.

“Keputusan itu jelas menunjukkan BN meneruskan tradisi politik matang, mendahulukan kepentingan rakyat Kedah, sekaligus mendokong kemuliaan Dewan Undangan Negeri yang bernaung bawah Sultan Kedah,” katanya.

Ketiga-tiga Adun itu juga yakin meskipun Speaker Dun Kedah dilantik daripada Harapan, kedudukan Adun kerajaan dan Adun pembangkang tetap sama jumlahnya dan akan menjadikan Dun Kedah sebagai contoh terbaik ‘semak dan imbang’ dalam negara ini.

“Bukan mudah untuk kerajaan Harapan Kedah berdepan barisan Adun pembangkang, sekiranya sedikit ketidakstabilan dalam kerajaan itu sendiri akan memakan diri mereka,” katanya.

Beberapa cyber trooper BN turut mempertikai rasional keputusan tiga Adun terbabit selain menggesa wakil rakyat itu melepaskan jawatan atau meninggalkan parti selain didakwa sebagai pengkhianat Umno

No comments:

Post a Comment