Saturday, July 14, 2018

MENGIKTIRAF KEWUJUDAN PELBAGAI AGAMA DALAM KONTEKS MENJAGA AGAMA

1. Tidak menjadi suatu kesalahan untuk menyatakan menjaga agama dalam prinsip ad-dharuriyyat al-khams itu difahami dengan maksud menjaga semua agama, bukan menjaga agama Islam saja.

2. Hal ini kerana, perkara itu masih dalam ruang lingkup ijtihad sebagaimana prinsip ad-dharuriyyat al-khams itu sendiri lahir daripada ijtihad para sarjana Islam silam.

3. Agama lain turut dijaga sebagai salah dengan tujuan menjaga Islam seperti larangan memaki sembahan yang lain selain daripada Allah (menjaga agama kafir) untuk mengelak daripada Allah dimaki (menjaga Islam).


4. Ijtihad dalam perkara ini tidak tertutup kerana ad-dharuriyyat al-khams itu sendiri sudah ada yang menyatakan bukan lagi al-khams (lima) tetapi as-sit (enam) atau as-sab' (tujuh).

5. Ad-dharuriyyat yang keenam ialah hifz al-biah (persekitaran). Bahkan ada sarjana yang menyatakan, hifz al-muruah (maruah) bukan terletak di bawah hifz an-nafs (nyawa) tetapi ia berdiri sendiri, menjadikannya ad-dharuriyyat as-sab' (tujuh).

6. Begitulah perkembangan ilmu dan pemikiran. Hal ini berlaku kerana tuntutan setempat dan semasa. Ia tidak merosakkan agama dengan syarat ia dibuat dengan qasad (niat) menjaga agama Islam itu sendiri.

7. Tafsiran nas-nas agama (al-Quran dan hadith) dan ijtihad para sarjana Islam terdahulu terutama dalam hal hubungan sesama manusia seharusnya berkembang selari dengan keperluan zaman dan tempat oleh mereka yang punya autoriti untuk melakukannya.

8. Jika tafsiran nas dan ijtihad tadi mati atau terikat dengan zaman dimana tafsiran itu dibuat oleh para sarjana Islam pada zaman dan tempat mereka, tentulah fungsi nas sebagai petunjuk dan ijtihad sebagai bimbingan untuk semua umat dan zaman tidak tercapai.

9. Dr Mujahid Yusof Rawa selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di negara ini tentu melihat kepada keperluan menjaga semua agama dalam konteks mengiktiraf kewujudannya sebagai salah satu mekanisme menjaga Islam.

10. Hal ini kerana, jika agama lain tidak turut dijaga dengan terbukanya ruang pencerobohan kepada tempat ibadat, sembahan dan ritual agama itu oleh mana-mana orang Islam misalnya, tentulah imej Islam tercalar dan masjid dan upacara ibadat keagamaan orang Islam juga akan diceroboh.

11. Situasi ini tentu tidak baik untuk Islam dari sudut persepsi terhadap Islam dan perkembangan dakwah. Justeru, menjaga agama lain dalam konteks ini menjadi keperluan untuk menjaga Islam.

12. Menjaga agama lain tidak bermakna mengiktiraf agama itu benar atau setanding Islam kerana Islam tetap agama yang benar dan tertinggi sama ada pada pandangan syariah atau dari sudut perlembagaan.

13. Malaysia perlu tegak sebagai negara contoh dalam pendekatan menjaga agama Islam. Tindak- tanduk ganas yang tercetus daripada pelampau agama telah begitu teruk menjejaskan nama baik Islam dan umatnya dan hal itu mesti dinoktahkan. Inilah kewajipan kita.

Zolkharnain Abidin,
Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Nasional,
14 Julai 2018.

No comments:

Post a Comment