Thursday, July 26, 2018

Mukhriz - Selaras portfolio Exco Kedah

Mukhriz
ALOR SETAR - Portfolio yang dipegang Exco Kedah akan diselaraskan supaya jawatankuasa tetap yang dipengerusikan oleh exco adalah selari dengan kementerian di peringkat Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, seperti mana dimaklumkan sebelum ini, setelah selesai semua lantikan menteri dan timbalan menteri, maka berlakunya sedikit penyelarasan kepada portfolio yang dipegang oleh Exco Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, ada sedikit perubahan yang telah dilakukan di peringkat kerajaan negeri termasuklah penambahan seorang exco bakal dilantik pada awal Ogos ini untuk menggantikan tempat Datuk Amiruddin Hamzah yang dilantik Timbalan Menteri Kewangan yang baharu.

“Tujuan penyelarasan ini adalah setiap kali ada mesyuarat kementerian, kita nak ada seorang wakil daripada negeri, seboleh-bolehnya seorang exco. Nampak gayanya, berlaku juga di mana satu kementerian terdapat lebih daripada satu exco akan terlibat. Ini adalah satu keadaan tidak dapat dielak oleh pihak kami,” katanya pada sidang media, selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.


Bagaimanapun, katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan perkenan Sultan Kedah, susulan perubahan yang dilakukan itu.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, ahli-ahli majlis juga akan dilantik pada 1 Ogos ini.

“Majlis angkat sumpah berlangsung di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT). Malah, di peringkat negeri akan dianjurkan taklimat mengenai skop kerja mereka yang dipikul oleh mereka mengenai soal integriti dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan membuat lantikan baharu mahupun rombakan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengikut keperluan.

“Contohnya, ada jawatan-jawatan tertentu termasuklah lantikan politik kerajaan terdahulu. Mereka ini sudah melepaskan jawatan, bila ada kekosongan, kita perlu mengisi dengan wakil-wakil daripada kerajaan yang ada sekarang. Contohnya, lantikan baru untuk Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) susulan Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff meninggal dunia pada Mac lalu,” katanya.Mukhriz memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan perkenan Sultan Kedah.

No comments:

Post a Comment