Thursday, July 19, 2018

Polis buka semula kertas siasatan kematian Beng Hock, Altantuya

PETALING JAYA: Kematian Setiausaha Politik, Teoh Beng Hock dan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan mendapat pembelaan selepas polis memberikan jaminan akan membuka semula kertas siasatan kes itu.

Ketua Polis Negera Tan Sri Fuzi Mohamad Harun berkata, pihaknya sedang menunggu kertas siasatan lengkap untuk dihantar ke peringkat seterusnya.

“Kita akan buka semula siasatan terhadap kes kematian Teoh Beng Hock selepas mendapat arahan berbuat demikian semalam.

“Siasatan selanjutnya akan dibuat, beri kami masa.

“Manakala kertas siasatan Altantuya sudah selesai, kita tunggu arahan selanjutnya untuk hantar ke Peguam Negara,” katanya selepas majlis penyerahan kenderaan polis oleh konsesi PLUS Malaysia hari ini.

Bulan lalu, polis berkata akan merujuk keterangan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Keterangan itu diambil susulan laporan polis dibuat Setev di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sehari sebelumnya.


Peguamnya, Ramkarpal Singh berkata, laporan itu untuk meminta polis membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan.

Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Dalam kes Teoh, Jabatan Peguam Negara pada 2016 mengesahkan tiada kesalahan jenayah yang dilakukan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian Teoh.

Beng Hock ditemui meninggal dunia pada Julai 2009 selepas jatuh dari tingkat 9 bangunan SPRM Selangor, tempat mendiang ditahan semalaman untuk soal siasat.

No comments:

Post a Comment