Friday, August 31, 2018

Apa yang Timb Menteri Pendidikan Mahu.. 'Sayangi Malaysiaku' atau 'Sayangi Cinaku'?

Menjelang Hari Kemerdekaan ke-61.
'Sayangi Malaysiaku' atau 'Sayangi Cinaku'?

Rata-rata pemimpin Cina yang tentunya membawa suara masyarakat kaum itu sama ada MCA dan DAP sebenarnya sepakat apabila tiba kepentingan kaum mereka. Walaupun di bibir mengucapkan tentang Malaysia tetapi dari segi tindakan lebih mementingkan kaum.

Walaupun mereka tidak suka menyebut 'bahasa Melayu' sebaliknya memanggil sebagai 'bahasa Malaysia', sebahagian besar masyarakat Cina (kecuali Kelantan, Terengganu dan kawasan luar bandar di Kedah) tidak mengamalkan 'bahasa Malaysia' pun.

Dengar sahaja cara sebutan majoriti Ahli Parlimen DAP berketurunan Cina yang lidahnya tidak fasih cakap 'bahasa Malaysia'. Berbeza dengan pemimpin MCA, kebanyakannya terbukti fasih berbahasa kebangsaan malah lebih baik daripada sebahagian pemimpin Melayu sendiri.


Apapun, sama ada dari DAP atau MCA, pemimpin Cina konsisten dengan apa yang mereka mahukan dan sentiasa bersuara menuntut itu, ini sama ada di akhbar dan media bahasa mereka, forum awam hinggakan ke mesyuarat Kabinet serta sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Terbaharu, isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang sudah lama meletup tetapi berkumandang lagi pasca PRU-14. Kali ini, di Dewan Negara, hanya lagi dua hari sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan.

Bagi pemimpin Cina, apa peduli semangat Hari Kebangsaan itu semua kerana hal berkaitan kaum mereka lebih penting berbanding kepentingan nasional terutama membabitkan usaha memperkasa pendidikan kebangsaan dan memastikan agihan ekonomi lebih adil.

Semalam, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker yang juga Pengerusi Biro Agama dan Harmoni MCA berkata:

“Apa lagi hendak berdalih, bukankah BN dan PH berjanji dalam manifesto mereka yang sijil UEC akan diiktiraf, maka itu bukan satu masalah kerana dua pihak mempunyai kata sepakat."

Itu penegasan Tian Ker ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara.

Lian Ker juga menyebut UEC payah untuk diiktiraf kerana dihalang tiga pemimpin besar Pakatan Harapan (PH) iaitu:

- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa maknanya itu? Saudara-saudari boleh fikirkan sendiri.

Bara api perkauman juga terus ditiup secara tidak langsung oleh segelintir pemimpin DAP berketurunan Cina walaupun Malaysia Baru yang dibanggakan sebagai 'Kita Punya' kononnya bebas perkauman.

Seolah-olah mereka menganggap masyarakatnya tidak 'cukup Cina' untuk terus menuntut itu dan ini walaupun realitinya hanya akan memburukkan lagi jurang interaksi dalam masyarakat majmuk di tanah air ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang sebelum ini dilihat sebagai 'pejuang UEC' sesuai dengan latarnya dulu memasuki Sekolah Menengah Cina dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil Balakong di Sungai Chua di Kajang, 27 Ogos menampakkan lagi jalur 'ultra Cina'.

Seolah-olah melangkaui kuasa menteri dan Kabinet, Nie Ching selamba berjanji akan mengkaji cadangan untuk membina 10 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), menjadikan kesemuanya berjumlah 26 buah dalam kajian itu.

Kata Ahli Parlimen Kulai, Johor itu lagi, selain cadangan membina 10 lagi SJKC dan memperuntukkan enam lagi di kawasan yang ramai penduduk, Nie Ching mendapati ada 10 SJKC yang dicadangkan belum terlakskana.

"Bila saya mengambil alih jawatan, saya dapati ada 10 lagi SJKC yang dijanjikan oleh kerajaan lalu antara 2012 dan 2017 tetapi belum ada tindakan," katanya.

Atas pertimbangan apa SJKC mahu diperbanyak lagi pada era Malaysia Baru? Bukankah sepatutnya Nie Ching bercakap tentang pentingnya masyarakat Cina menyokong sekolah kebangsaan sebagai usaha untuk bergaul membudayakan bahasa kebangsaan?

Adakah kadar kelahiran komuniti Cina meningkat begitu mendadak sehingga memaksa perlunya SJKC yang tentunya menggunakan duit kerajaan dibina lebih banyak lagi?

Ketika rata-rata masyarakat Cina melalui ruangan pendapat di akhbar-akhbar berbahasa Inggeris (bahasa Cina lagilah sudah tentu) mengeluh dengan bermasalahnya tahap perpaduan kaum di negara ini, boleh pula SJKC mahu ditambah?

Apa makna semua ini? 'Orang Cina' dahulukah lebih diutamakan atau 'Orang Malaysia' sebagai identiti diri? 'Sayangi Malaysiaku' atau 'Sayangi Cinaku'?

Adakah Nie Ching yang dari parti bukan mengkhusus kepada kaum seperti MCA berperanan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Cina bukan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia?

Kalau begitu dan memang konsisten kenyataan demi kenyataannya sebelum ini, rakyat berhak bangkit menuntut Nie Ching dipecat kerana mengutamakan sentimen kaum terutama musim PRK sekarang.

Selepas 61 tahun diberi kerakyatan menjadi warganegara tanah air ini, yang mana pertama dan didahulukan oleh warganegara Malaysia berketurunan Cina? 'Orang Cina' atau 'Orang Malaysia' pertama bertakhta di hati?

Arif Atan

1 comment:

  1. Sejak BN tumbang suara memusuhi orang cina Malaysia semakin menjadi2...!elok Melayu cerminkan Bangsa nya sendiri...persatuan Cina terus mantap terutama dan kuat terutama dalam bidang ekonomi dan Pendidikan...Persatuan Melayu pula ada apa...? Sikap menghasut rakyat dengan isu perkauman bukan lah perbuatan yg bijak terutama pada mereka yg kecewa...!

    ReplyDelete