Jenazah Allahyarham dibawa menaiki van setelah selesai disolatkan di surau pondoknya, di sini. (Gambar kecil: Mohd Hafizuddin) |
AYER HITAM - Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Tuan Guru Mohd Rejab Md Akhir, 59, kembali ke rahmatullah akibat strok.
Anak sulungnya, Mohd Hafizuddin Helmi Mohd Rejab, 26, berkata, ayahnya tidak sedarkan diri sejak rebah ketika menghadiri program usrah di Kampung Tempayan Pecah, Jumaat lalu.
Bagaimanapun katanya, ketika dirawat di hospital kelmarin ayahnya sempat berpesan supaya mereka mendoakannya.
"Dia sedar sekali saja kelmarin (Isnin), dia kata tolong doakan dia, itu saja yang dia dan (sempat) kata, masa tu adik (Abdul Mubbin, 22) dan mak, Siti Fatimah Osman, 47) ada di sisi ayah," katanya.
Menurutnya, sebelum ini pada 2006 ayahnya disahkan menghidap darah tinggi.
"Tetapi lepas tu ayah tak pernah sakit, tak pernah jumpa doktor sampai la dia tiba-tiba rebah Jumaat lalu.
"Masa tau pasal ayah tu, saya ada di Kelantan sebab masih belajar di sebuah pondok di Pasir Mas.
"Jadi saya terus balik dan Alhamdulillah saya bersama ibu dan adik-adik yang lain setia berada di sisi ayah sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir. Kami reda dengan pemergian ayah," katanya dalam nada sedih.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Jerlun, Abd Ghani Ahmad berkata, dia bersama pimpinan Pas yang lain ada bersama ketika Allahyarham rebah Jumaat lalu.
"Masa tu dalam pukul 9 malam, Allahyarham mai lambat sikit.Tapi tak nampak perubahan apa-apa.
"Masa jamuan tu, dia duduk atas sofa, namun tiba-tiba dia rebah sebelah kiri, kami syak dia kena minor strok jadi kami terus hubungi ambulans.
"Awal tu Allahyarham dibawa ke Hospital Jitra sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada jam 1.39 pagi," katanya.
Katanya, walaupun Allahyarham masih tidak sedarkan diri, tetapi keadaannya kelihatan sedikit stabil ketika itu.
"Bila orang mai melawat bagi salam,dia angguk.. tapi hari ini (semalam) saya terima berita yang sangat menyedihkan daripada isteri Allahyarham,"katanya.
Lebih 3,000 ulama dan orang ramai menziarahi jenazah Allahyarham di pondoknya di Kampung Telaga Batu, di sini.
Turut kelihatan hadir memberi penghormatan terakhir adalah, Naib Presiden Pas Pusat, Idris Ahmad; Pengarah Penerangan Pas Kedah merangkap Adun Sungai Limau, Mohd Azam Samat; Exco Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah merangkap Adun Kota Siputeh, Dr Salmee Said dan Speaker Dun Kedah, Datuk Ahmad Kassim.
Solat jenazah semalam turut dilaksanakan sebanyak tiga kali di pondoknya kira-kira jam 6 petang sebelum disemadikan di Masjid Gurindam di sini.
Allahyarham yang juga Pengerusi Majlis Guru Pondok Kedah (HESA) dan Mudir Madrasah Manabie Al-Ulum, Jeram di Jitra.
Allahyarham yang memiliki pendidikan peringkat Empat Sanawi, Nahdhoh Wataniah meninggalkan seorang isteri dan enam anak.
Pada PRU 14 lalu, beliau bertanding di Dun Kota Siputeh menentang Dr Salmee Said (Amanah) yang bertanding atas tiket PKR dan calon BN, Ahmad Azhar Abdullah.
sinar harian
No comments:
Post a Comment