Saturday, September 22, 2018

Gesa kerajaan fokus sektor hiliran getah

Gesa kerajaan fokus sektor hiliran getah
Kameruzaman (kiri) bersama Timbalan Menteri Industri Utana Shamsul Iskandar Mohd Akin (tengah) dalam Majlis Penyerahan Memorandum dari PUGBM berkaitan Proposal Meningkatkan Pendapatan Pekebun Kecil Getah dan Cadangan Tambahbaik Skim Subsidi Pekebun Kecil Getah sebelum ini di Kuala Lumpur.

BALING - Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) menyarankan kerajaan memberikan tumpuan kepa­da sektor hiliran berasaskan getah.

Presiden PUGBM, Kameruzaman Ab Rahman berkata, tumpuan lebih ke­pada sektor hiliran berasaskan getah mampu menjana ekonomi penoreh.

Menurutnya, perancangan untuk membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan utama tana­man getah perlu digerak­kan secara bersepadu meli­batkan semua agensi berkaitan.

"Langkah ke depan adalah perlu dengan mem­berikan tumpuan yang lebih kepada sektor hiliran berasaskan getah.

"Ia penting bagi memberi ruang kepada golongan pekebun getah untuk terlibat dalam sektor ini," katanya.

Disamping itu katanya, kerajaan juga perlu mem­berikan fokus kepada pembangunan aktiviti eko­nomi tambahan di mana melibatkan ternakan dan pertanian dalam kalangan masyarakat penoreh.

Menurutnya, langkah ini bagi menampung keperluan sumber daging dan sayuran yang kini masih bergantung kepada sumber import.

"Kerajaan menyasarkan pengeluaran daging 50 pera­tus menjelang 2020, sekali gus mengurangkan import daging yang mencecah 70 peratus ketika ini.

"Hingga kini, Malaysia hanya menghasilkan antara 28 hingga 30 peratus daging lembu dan kerbau atau 170,000 tan metrik menye­babkan lebihan 70 peratus diimport dari Australia, Thailand dan India," katanya.

Tambahnya, pada 2015 sahaja Malaysia mem­belanjakan sekitar RM45.4 billion untuk mengimport makanan.

"Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pula memaklumkan pada 2014, import makanan berjumlah RM42.6 bilion.

"Peningkatan mendadak sebanyak RM12.4 bilion berbanding empat tahun sebelum itu yang hanya merekodkan bil sebanyak RM30.2 bilion," katanya.

Kameruzaman berkata, PUGBM bersedia terlibat secara langsung dalam menerokai IKS produk berasaskan getah.

"PUGBM mempunyai sumber dari segi bahan mentah, rangkaian per­niagaan, tenaga kepakaran yang bersedia dalam usaha ini.

"Keahlian PUGBM adalah terdiri daripada penoreh getah, pemilik kebun getah, peniaga getah, pengusaha nurseri getah dan bekas pegawai kanan agensi dan syarikat korporat dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata, PUGBM yakin dengan bantuan dan kerjasama dari agensi-agensi seperti LGM, Risda, Mara, Felda, Felcra, Tekun, Teraju dan Jabatan Pertanian dapat merealisasikan cadangan berkenaan.

"Perkara ini memerlukan dana asas bagi memulakan aktiviti yang boleh mem­bantu merungkai isu pen­dapatan pekebun kecil ekoran keadaan harga getah tidak menentu," katanya.

No comments:

Post a Comment