Friday, September 14, 2018

Polis Kedah akan banteras judi haram habis-habisan!

Banteras judi haram habis-habisan!

ALOR SETAR - "Semua bentuk perjudian haram di negeri ini akan dibanteras habis-habisan"! Demikian tegas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid.

Beliau menggesa masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika mengesyaki ada premis yang menjalankan kegiatan itu.

"Pihak polis akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berkala di premis perjudian yang pernah diserbu sebelum ini bagi memastikan ia tidak lagi terus beroperasi," katanya ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini, hari ini.



Majlis itu menyaksikan Asisten Komisioner Zahari Mohamed dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pengarah (Kesejahteraan Organisasi) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta digantikan dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar Supt Chuah Seong Lim.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mat Kasim Karim.

Sementara itu, polis Kedah memberi tumpuan kepada rumah urut berlesen agar tidak menyalahgunakan lesen dimiliki dengan menawarkan perkhidmatan pelacuran.

“Kita juga pada masa sama hendak memastikan Kedah bebas daripada kegiatan pelacuran dan tidak akan berkompromi dalam isu ini,” katanya. - Bernama.


No comments:

Post a Comment