Sunday, September 16, 2018

TPM - Kekalkan semangat toleransi, persefahaman

Wan Azizah 
KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia supaya mengekalkan nilai-nilai murni seperti toleransi, hormat-menghormati, saling memahami dan saling menerima.

"Ini adalah harta masyarakat yang harus kita sentiasa hargai dan dukungi," kata beliau dalam perutusan Hari Malaysia.

Beliau berkata Malaysia tertubuh 55 tahun lalu hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu dengan Sarawak dan Borneo Utara (kini Sabah).

"Peristiwa bersejarah penyatuan tiga wilayah ini ditambah manis dengan ciri-ciri unik untuk dimiliki oleh setiap wilayah,” katanya.

Keindahan Malaysia sesungguhnya terletak pada rakyatnya, kata timbalan perdana menteri sambil menyeru rakyat Malaysia untuk terus meraikan keharmonian dalam kepelbagaian dan menikmati perbualan di sekeliling kita yang dituturkan dalam bahasa yang pelbagai.


"Perjalanan yang sudah kita lalui amat panjang, namun masih banyak lagi kegemilangan yang Malaysia boleh capai. Bersama-sama, kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kemegahan dan kebanggaan," katanya.

“Perjuangan kita untuk mengecapi kemerdekaan dan menegak demokrasi dinikmati tanpa pertumpahan darah dan ini merupakan kejayaan yang dapat dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia,” kata Wan Azizah.

"Pada hari ini, marilah kita mengenang perit-jerih yang dilalui oleh nenek-moyang kita dan pemimpin terdahulu ke arah menjadikan Malaysia satu realiti," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment