Saturday, September 15, 2018

Tubuh jawatankuasa teliti kerjasama Umno-Pas Kelantan

Tubuh jawatankuasa teliti kerjasama Umno-Pas Kelantan
KOTA BHARU – Satu jawatankuasa kerja Perhubungan Umno Kelantan akan ditubuhkan bagi meneliti aspek-aspek kerjasama antara parti itu dengan Pas mengikut acuan politik negeri berkenaan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa tersebut akan diketuai Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

“Selepas itu secara rasmi perbincangan akan diadakan dengan pihak Pas dan Kerajaan Kelantan bagi menterjemahkan bentuk kerjasama kerana di peringkat nasional, kerjasama sudah terjalin secara rasmi sebagai pembangkang.

“Tetapi untuk Kelantan ini, Pas adalah sebuah kerajaan negeri, maka mungkin ada beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas di Dewan Umno Kelantan, hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu penting bagi memastikan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu bukan hanya untuk jangka pendek, namun diharapkan bagi satu tempoh yang berpanjangan.


“Bentuk kerjasama jangka panjang ini amat diperlukan kerana selama lebih 60 tahun kami berperang sesama sendiri.

“Ini adalah ketika yang terbaik untuk pemimpin serta ahli Umno dan Pas di akar umbi dapat memahami hati nurani masing-masing sebagaimana kerjasama yang pernah dilakukan dalam pilihan raya kecil di Selangor baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, dengan kerjasama yang dilakukan bukan bererti parti yang diterajui itu terdesak untuk kembali menjadi kerajaan, sebaliknya itu realiti dalam berpolitik.

“Ini bukan soal terdesak atau sebagainya ini adalah realiti politik di mana kita adalah parti pembangkang dan tidak ada siapa pun kecuali ALLAH yang boleh menyekat bentuk kerjasama antara parti-parti pembangkang di dalam satu gagasan.

“Kita juga tahu banyak isu-isu rakyat yang tidak dapat diselesaikan dan manifesto tidak dapat diterjemahkan perlaksanaannya dan tentunya rakyat mencari Umno dan Pas untuk menyelesaikan permasalahan yang disebutkan tadi,” katanya.

No comments:

Post a Comment