Tuesday, October 16, 2018

Apabila menteri kena perbodohkan media bab stokin..

Maszlee: Isu hospital universiti tak mahu sensasikan?

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mempersoalkan perhatian terhadap kenyataannya berhubung isu remeh berbanding perkara yang menurutnya lebih penting yang dibangkitkannya.

Walaupun tidak mengatakan secara khusus, beliau jelas merujuk laporan media berhubung langkah kementerian pendidikan yang kini sedang mengkaji warna stokin bagi pelajar sekolah.

"Saya cakap perkara trivial (remeh) kurang satu minit Utusan Malaysia laporkan, Datuk Seri Najib Razak pun berminat.

"Saya bincang perkara penting tentang hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?" soalnya di Facebook hari ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia semalam - yang kemudiannya dipetik media lain - Maszlee dalam sidang media selepas program lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, isu warna stokin akan diputuskan selepas perbincangan dengan pelbagai pihak selesai.

Beliau menjawab pertanyaan Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin sama ada warna stokin juga akan ditukar selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam.

Ia menyebabkan Maszlee dihujani kritikan dan sindiran oleh pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkannya mengutamakan perkara remeh berbanding isu pendidikan yang lebih utama.

Malah Najib menerusi hantaran di Facebook menyindir Maszlee sebagai seorang menteri yang berpandangan jauh.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna. Seterusnya, diharapkan menteri akan kaji warna baju, warna bangunan sekolah juga," kata Najib.

Dalam pada itu, Maszlee berkata sesetengah isu yang dilihat remeh mungkin dianggap penting oleh pihak lain dan beliau menghargai semua pandangan yang diberikan.

"Keprihatian semua - ibu bapa, industri dan semua pemegang taruh - akan dipertimbangkan dengan baik," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment