S Ravi Chandaran, 47, turut mendakwa tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara kepadanya dan selain tawaran itu, dia turut mendakwa menerima tawaran dari adik Kevin sendiri, iaitu Datuk Richard Morais untuk membuat pengakuan sama.
Ravi berkata demikian di Mahkamah Tinggi ketika pemeriksaan balas peguam, Datuk N Sivananthan yang mewakili pakar patologi tentera, Dr R Kunaseegaran, pada prosiding membela diri hari ke-24.
Sivananthan: Kamu katakan Dr Kunaseegaran tawar wang RM1.5 juta untuk kamu mengaku salah. Ini dibuat pada 29 Disember 2017.
Ravi Chandaran: Benar
Sivananthan: Kamu juga ada buat satu laporan polis pada 26 Januari 2018, Richard Morais tawarkan RM2 juta untuk kamu mengaku salah.
Ravi Chandaran: Ya, benar.
Sivananthan: Dalam laporan sama pada Februari 2018, kamu kata ada pegawai penjara yang menawarkan kamu RM3.5 juta untuk mengaku salah bagi pihak Najib Razak.
Ravi Chandaran: Ya, benar.
Ravi turut bersetuju dengan cadangan Sivananthan, keseluruhan wang yang ditawarkan individu terbabit untuk mengaku bersalah dalam kes itu berjumlah RM7 juta.
Kepada cadangan Sivananthan yang tertuduh mereka cerita berhubung tawaran wang itu sehingga ia kelihatan tidak masuk akal, Ravi bagaimanapun tidak bersetuju.
Tertuduh turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu tidak ada sebab untuk semua individu itu menawarkan wang kepadanya.
Ditanya Sivananthan adakah Kunaseegaran mengarahkannya membunuh Kevin, tertuduh berkata “tidak”.
Dia juga menjawab “tidak” kepada soalan Sivananthan adakah Kunaseegaran mengarahkannya melakukan sesuatu seperti menculik Kevin.
Dalam prosiding sebelum ini, Ravi mendakwa Kunaseegaran menawarkan RM1.5 juta untuk mengaku membunuh Kevin.
R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan, Ravi dan Kunaseegaran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi diwakili V Rajehgopal, manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 5 Oktober ini.
FMT
No comments:
Post a Comment