Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata masalahnya sekarang ialah “kuil didirikan di atas tanah milik orang lain”.
“Cara ini akan menyelesaikan masalah. Masalahnya sekarang ialah kuil dibina tanpa mengambil kira siapa yang memiliki tanah itu, dan kemudian apabila pemiliknya mahu balik tanah tersebut, ia akan menimbulkan masalah.
“Kuil dibina di mana-mana sahaja walaupun di tanah milik orang lain. Itulah masalah yang kita lihat hari ini,” kata beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Menara Yayasan Selangor hari ini.
Dr Mahathir menjawab soalan mengenai langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengelak insiden serupa seperti kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights daripada berlaku.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi penjelasan berhubung insiden rusuhan di kuil tersebut di Dewan Rakyat esok sekiranya usul tergempar yang dikemukakan oleh anggota Parlimen untuk membahaskan insiden itu diluluskan oleh Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusuf.
Pada Selasa, anggota parlimen dari Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mengetepikan perbezaan politik mereka dan mengemukakan usul kepada Speaker untuk membahaskan insiden melibatkan Kuil Sri Maha Mariamman.
Ketika mengulas mengenai keadaan kuil, Dr Mahathir berkata ia juga tidak begitu jelas buat masa ini.
Kepada soalan sama ada rusuhan itu ada kena-mengena dengan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan menghalang orang ramai daripada berdemonstrasi tetapi ia harus dilakukan dengan cara yang betul tanpa melibatkan perbuatan jenayah.-BERNAMA.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/kerajaan-akan-lulus-usul-mengenai-rumah-ibadat-kata-mahathir/
No comments:
Post a Comment