Tuesday, December 11, 2018

Apa punya manusia, Tabung Haji pun mereka noda

A Kadir Jasin

ULASAN | Berita buruk yang luar biasa mengenai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak memeranjatkan lagi.

Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada BN pada 9 Mei lalu, satu demi satu skandal kewangan terbongkar.

Semakin hari apa yang ditakuti semakin menjadi kenyataan iaitu bawah telunjuk bekas perdana menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, kerosakan berlaku secara sistematik dan meluas.

1MDB, Felda, FGV dan sekarang Tabung Haji (TH). Daripada apa yang kita dengar, senarai ini akan menjadi lebih panjang.


Felda tenat kerana Mohd Najib, atas nasihat konco-konconya yang tamak, menjual harta Felda dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) melalui Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada tahun 2012.

Tujuan tersiratnya adalah mengumpul dana untuk pilihan raya umum 2013 bagi pihak BN sambil mengisi kocek konco, kawan dan rakan.

Ladang dan aset Felda yang dulunya digunakan untuk menjana pendapatan tambahan bagi membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh dipindahkan kepada FGV.

Oleh sebab kaedah korporat yang tidak lestari serta penyelewengan oleh pengurusan, harga saham FGV jatuh merudum – daripada harga IPO RM4.55 kepada 77 sen sekarang – dan ia gagal menjana pendapatan tambahan untuk Felda.

Akibat manipulasi korporat melalui FGV inilah Felda mengalami kerugian besar dan hilang kemampuan untuk membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh.

Sebaliknya Felda kini terpaksa menjalani proses pembersihan dan pembinaan semula.

Giliran Tabung Haji

Sekarang giliran TH pula. Apa lagi hendak kita katakan apabila tabung simpanan untuk mengerjakan haji dan memperkukuhkan ekonomi umat Islam pun dinodai?

Buat sekian lama kita mendengar berita dan dakwaan mengenai penyelewengan dan pelanggaran urus tadbir dalam TH, khususnya apabila orang kesayangan keluarga Najib, Abdul Azeez Abdul Rahim, dilantik menjadi pengerusi pada bulan Julai 2013.

Tetapi semuanya dinafikan dan orang yang membuat pendedahan dikutuk dan dikenakan tindakan. Media massa arus perdana turut bersubahat menghebahkan yang salah dan membenamkan yang benar.

Daripada kenyataan media Dr Mujahid Yusof, menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2018, kita dapati sebaik saja Abdul Azeez menerajui TH, pelanggaran urus tadbir mula berlaku.

Dasar duit tunai adalah raja (cash is king) atau lebih tepat amalan menggunakan duit tunai bagi membeli undi mula diamalkan dengan membelakangkan undang-undang tubuh TH sendiri.

Hibah (dividen) diisytiharkan dan dibayar walaupun tidak memenuhi syarat. Sejak tahun 2014 hingga tahun kewangan 2017, hibah dibayar walaupun dua syarat wajib tidak dipenuhi.

Dua syarat wajib itu adalah (1) aset (harta) tidak boleh kurang daripada liabiliti (hutang) dan (2) ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Inilah yang diingatkan oleh Zeti Akhtar Aziz ketika beliau menjadi gabenor Bank Negara. Dalam surat kepada pengurusan TH pada tahun 2015, Zeti memberi ingatan bahawa TH tidak lagi boleh membayar hibah kerana hutangnya melebihi harta. Masa itu nisbahnya adalah 98 sen harta bagi setiap RM1 hutang.

Namun begitu, bukan saja peringatan sukarela beliau itu tidak dihiraukan sebaliknya disanggah oleh para penyokong dan penggilap apel Najib seperti ketua pemuda Umno sekarang, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Syukur kepada Tuhan pintu hati saya dibuka untuk membantah pelantikan Abdul Azeez dalam tulisan-tulisan saya kerana saya tahu sedikit sebanyak sejarah TH dan kenal siapa Abdul Azeez.

Kewangan TH

Akaun tahun kewangan 2017 TH yang dibentangkan di Parlimen semalam (10 Disember) menunjukkan aset keseluruhan TH sebanyak RM70.3 bilion manakala liabiliti (hutang/tanggungan) RM74.4 bilion. Ini bermakna TH mengalami defisit (kekurangan) RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Sehubungan itu, kata Dr Mujahid, pengisytiharan dan pembayaran hibah bagi tahun 2017 (yang dibuat Februari lalu) melanggar Akta Tabung Haji 1995.

Najib ketika mengalu-alukan pengisytiharan hibah itu dilaporkan berkata bahawa kecekapan pengurusan TH membolehkan kadar yang lebih tinggi dibayar.

Kata Mujahid: “TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti.”

“Berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH,” tambah beliau.

Inilah yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah dan pengurusan baru TH yang dilantik oleh kerajaan PH mulai Julai lalu. Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengembalikan TH ke landasan kewangan dan pengurusan haji yang betul dan lestari.

Pemerhatian

Izinkan saya membuat pemerhatian ringkas. Rasanya amat sesuai bagi kerajaan dan pengurusan TH membaca balik dokumen dan sejarah TH mulai 1963.

Ada dua tujuan utama TH ketika itu. Pertama mengurus pengerjaan haji oleh orang Islam Malaysia dan kedua memudah serta menggalakkan orang Islam menabung.

Pertama saya tidak pasti apa peranan subsidi haji dan kegiatan pelaburan TH. Apakah kaitan penunaian haji dengan subsidi kalau kewajipan haji adalah ke atas orang yang mampu sahaja?

Kedua mengenai kegiatan pelaburan yang nampaknya menjadi keutamaan dan kegilaan (obsession) pengurusan TH. Adakah ini matlamat TH?

Harus ada perbezaan di antara menabung untuk mengerjakan haji dengan melabur. Serentak itu, kita tidak mahu orang Islam menabung sekadar untuk melayakkan diri mendapat subsidi.

Justeru itu, isu subsidi haji dan pelaburan ini wajib dikaji semula dan difahami di segi agama dan perniagaan. Adakah TH agensi perniagaan yang matlamatnya keuntungan atau agensi pengurusan haji dan penabungan?

Pelan pemulihan

Menurut Dr Mujahid, lembaga pengarah TH telah mencadangkan rancangan pemulihan yang membabitkan penubuhan sebuah badan khas – special purpose vehicle atau SPV.

SPV ini akan ambil alih, pulihkan dan maksimumkan nilai harta TH yang sekarang rendah prestasinya. Dengan itu beban hutang TH dapat dikurangkan atau dimansuhkan terus.

Kata Dr Mujahid, pelan itu telah diteliti dan diberi sepenuh sokongan oleh kabinet. Selaras dengan itu, kerajaan telah bersetuju meletakkan TH bawah pengawasan Bank Negara.

“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019 ,” kata Dr Mujahid.

Dulu lain sekarang lain. Sewaktu TH diasaskan pada tahun 1963, niatnya suci dan orang yang dilantik bagi menguruskannya terdiri daripada orang yang berkepakaran dan amanah. Bukan jenis cium tangan.

Masa itu perdana menteri, almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, tidak berpura-pura tunjuk alim. Orang Islam pun belum tergila-gila berjubah macam orang Arab. Tetapi mereka ikhlas dan amanah.

Kesimpulannya, dalam kita berusaha memulihkan TH, kita hendaklah kembali ke pangkal jalan bagi memahami dan menghayati tujuan asal penubuhannya.

Kita perlu pastikan sama ada melabur, membuat keuntungan, membayar hibah dan memberi subsidi adalah sebahagian daripadanya.

TH rosak kerana melantik orang yang tidak amanah dan tidak berpengetahuan atau juga kerana terlalu mengejar keuntungan seolah-olah ia adalah badan perniagaan.

Mulai sekarang, lebih kita pagar sawah bendang kita daripada asyik marahkan pegar. Menang tabiat semula jadi burung pegar makan padi. Kalau kita harapkan pegar menjaga padi, menang bodohlah kita.

A KADIR JASIN ialah penasihat media perdana menteri dan pemimpin pusat BERSATU. Beliau bagaimanapun berkata tulisan ini pandangan peribadinya.

No comments:

Post a Comment