PAS tetap yakin parti itu kekal dengan statusnya sebagai kingmaker walaupun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Menurut timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, istilah itu bukan sahaja terpakai semasa pilihan raya malah melibatkan senario semasa politik.
"Saya fikir kita kekal sebagai kingmaker dalam konteks sokongan politik.
"Walaupun ia tidak (memberi kesan) pada keputusan (PRU) baru-baru ini tetapi dari segi sokongan (PAS tetap kingmaker).
"King maker ini bukan melibatkan pilihan raya sahaja tetapi (termasuk) senario politik," katanya dalam temubual bersama Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan terkini parti itu yang sebelum ini diuar-uarkan menjadi kingmaker seperti yang dinyatakan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menjelang PRU ke-14 lalu, Abdul Hadi pernah menjangkakan tiada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan selepas PRU14.