2. Sudah pasti, tidak mudah membetulkan semula negara yang dicengkam hutang lebih RM1 trilion, ekonomi yang semakin merudum, dan rasuah yang membarah. Namun, kerajaan Pakatan Harapan berusaha membetulkan semua masalah-masalah yang ditinggalkan ini walaupun menghadapi cabaran yang amat besar. Sekali pun kerajaan Pakatan Harapan menghadapi kritikan daripada pelbagai pihak, namun kita sama sekali tidak boleh menafikan terdapat perubahan dan pembaharuan yang positif yang telah dilakukan sepanjang 7 bulan ini.
3. Dalam aspek ekonomi, kerajaan berjaya melaksanakan semula SST untuk memastikan keperitan rakyat menanggung kos sara hidup akibat GST dapat dikurangkan. Walaupun kutipan SST dianggarkan RM21 bilion berbanding hasil kutipan GST sebanyak RM44 bilion setahun, namun pengurangan hasil kerajaan ini akan memberikan lebihan kepada poket rakyat. Selain itu, tindakan kerajaan yang menangguhkan projek mega seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang bernilai RM110 bilion, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berjumlah RM81 bilion, dan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang berjumlah RM50 bilion juga adalah tepat bagi mengurangkan beban kewangan dan hutang negara yang kebanyakannya ditanggung generasi muda.
4. Sungguhpun berhadapan cabaran kekangan kewangan, Malaysia masih mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam pelbagai aspek ekonomi. Misalnya, eksport negara mencatatkan pertumbuhan 17.7% pada bulan Oktober dan mencapai nilai RM96.4 bilion iaitu paling tinggi dalam sejarah. Bukan itu sahaja, dalam Global Competitive Report 2018 oleh World Economic Forum, Malaysia telah memperbaiki kedudukannya ke tangga ke-25 daripada 140 negara di seluruh dunia. Manakala, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2018, indeks sentimen perniagaan dan pengguna negara ini telah berada di atas paras positif dan ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan berbanding tahun lalu.
5. Bukan itu sahaja, Malaysian Institute of Economic Research telah menyatakan bahawa rakyat lebih optimistik terhadap pendapatan, kos sara hidup dan prospek kerjaya pada suku tahun 2018 berbanding setahun lepas. Apungan harga minyak secara mingguan dengan kadar had RM 2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi Diesel dan pelaksanaan subsidi minyak bersasar serta pembekuan kenaikan kadar tol lebuhraya diharapkan dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat.
6. Pertumbuhan sektor pertanian negara pula dijangka pulih pada tahun 2019, berbanding sedikit penyusutan yang dijangka tahun ini. Segmen pertanian melibatkan sumber makanan seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran dijangka berkembang 4% pada tahun 2019. Manakala, sektor perikanan dijangka mencatatkan pertumbuhan 0.1%, berbanding penyusutan 0.6% tahun ini. Bekalan ikan yang mencukupi dan pada harga munasabah diharus diberikan perhatian serius semua pihak terbabit bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
7. Untuk terus memastikan perkembangan sektor pertanian dan untuk menjaga kebajikan para petani dan nelayan, Kerajaan PH telah memperuntukkan sebanyak RM4.4 bilion dalam Belanjawan 2019. Diharapkan agar kerajaan terus mengambil langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan produktiviti dalam sektor pertanian tempatan. Selaras dengan itu, kerajaan telah mengumumkan insentif khas membantu anak muda terlibat dalam keusahawanan pertanian dengan peruntukan RM20 juta dengan bantuan antara RM10,000 ke RM20,000 seorang. Di samping itu, keupayaan eksport oleh pengusaha pertanian tempatan juga harus dimantapkan dengan memfokuskan ke arah eksport output pertanian yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
8. Selain pemulihan ekonomi, kerajaan Pakatan Harapan juga terus komited membanteras rasuah yang sudah lama membelenggu negara. Jika dilihat kepada Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perceptions Index (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International pada tahun 2017, Malaysia berada di tangga 62 daripada 180 negara. Bagi memastikan persepsi rasuah di Malaysia dapat dipulihkan, ahli-ahli kabinet dan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan buat pertama kalinya diwajibkan untuk mengisytiharkan harta. Pengisytiharan harta ini dilakukan untuk membendung berlakunya elemen-elemen rasuah dalam kalangan ahli kabinet dan dan ahli parlimen pada masa akan datang dan dalam masa yang sama, rakyat boleh menjadi pemantau yang berkesan kepada pihak kerajaan.
9. Dalam aspek kebebasan dan hak sivil rakyat pula, kerajaan Pakatan Harapan telah memberikan kebebasan dan hak sivil rakyat yang lebih luas berbanding sebelum ini. Dalam indeks kebebasan yang dikeluarkan oleh sebuah badan bebas iaitu Freedom House, rating kebebasan di Malaysia, hak politik, dan hak sivil adalah tidak berubah dari tahun 2005 hingga 2017 pada skor 4 daripada 7, dengan status kebebasan yang diletakkan adalah separa bebas. Kerajaan telah memberikan kebebasan dan hak sivil rakyat yang lebih luas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 10. Kini, media perdana bebas melaporkan berita mereka walaupun berita tersebut tidak memihak kepada pihak kerajaan. Bukan pemimpin Pakatan Harapan sahaja diberikan ruang dalam media perdana malah pemimpin parti oposisi juga diberikan ruang sebagai meraikan kebebasan bersuara di Malaysia.
10. Komitmen kerajaan untuk melakukan reformasi institusi juga begitu tinggi. Pendapat kebanyakan sarjana Sains Politik terkemuka antaranya Samuel P. Huntington dan Francis Fukuyama bahawa perubahan institusi yang lebih stabil dan baik adalah penting bagi sesebuah negara demokrasi. Justeru itu, antara perkara utama yang dilakukan oleh Pakatan Harapan ialah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Institusi. Ini kemudiannya diterjemahkan dalam Rancangan Malaysia ke-11(RMK-11) yang diumumkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada 18 Oktober 2018 yang mana tonggak pertama RMK-11 ialah “mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.”
11. Pada peringkat permulaan pentadbiran, kerajaan telah menukar pemimpin-pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bagi memastikan ketelusan dan akauntibiliti dalam institusi-institusi kritikal terbabit. Selain institusi tersebut, kerajaan juga sedang dalam rangka mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi memberikan semula autonomi kepada institusi legislatif negara selari dengan konsep pemisahan kuasa.
12. Perubahan-perubahan ini adalah sebahagian langkah besar yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan selama 7 bulan memerintah. Sudah pasti pada tahun 2019, kita mengharapkan perubahan yang lebih besar dilakukan agar sistem politik dan kehidupan rakyat amnya menjadi lebih baik terutama dalam mengurangkan kos hidup rakyat. Tadbir urus yang lebih baik adalah penting untuk memastikan semua agenda perubahan yang diperjuangkan selama ini dapat dilaksanakan.
13. Namun, perkara tersebut kita tidak akan dapat dicapai sekiranya kita masih lagi dibelenggu dengan isu dan sentimen perkauman yang sengaja dibakar oleh sesetengah pihak untuk tujuan. Pada 2019 kelak, kita semestinya tidak mahu negara kita menjadi negara xenofobik yang mana rakyatnya penuh dengan kebencian dan prejudis antara satu sama lain akibat isu perkauman yang ditimbulkan. Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin D. Roosevelt pernah mengungkapkan:
“The value of love will always be stronger than the value of hate; since any nation or group of nations which employs hatred eventually is torn to pieces by hatred within itself.”
14. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2019 kepada semua rakyat Malaysia. Semoga negara kita terus dilimpahi kasih sayang dan kekal harmoni selamanya sesuai dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’. Kemakmuran Malaysia harus dilestarikan bersama seluruh rakyat merentasi agama, bangsa dan ideologi politik untuk kita warisi kepada generasi akan datang. Malaysia adalah milik kita bersama.
FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH)
ADUN Permatang Pasir
31 DISEMBER 2018
No comments:
Post a Comment