Saturday, January 26, 2019

Malaysia Baru gelap jika wartawan bodek


Opinion | Hishamuddin Rais

‘Maaf ya Datuk, maaf Datuk Seri, maaf Tun… boleh tanya… nak tanya sikit… jangan marah Datuk... minta maaf.. nak tanya sikit… jangan marah...Ini tentang… nak minta komen tentang…’

Ini cara Hishamuddin Rais mengambarkan para wartawan Malaysia. Dialog ini adalah hasil pemerhatian. Dialog ini adalah juga pengumpulan pengalaman saya apabila berhadapan dengan wartawan dan pemberita bergenre Malaysia aka genre bodek.

Semenjak tahun 1971, saya telah berhadapan dengan media. Ini ketika saya mula terlibat dalam gerakan pelajar. Pada ketika itu saya tidak berapa faham sangat akan peranan wartawan dan pemberita.

Tapi pada tahun 2019 - saya berani mengeluarkan dialog - hampeh - di atas. Ini untuk menerangkan apakah makna genre bodek dalam kewartawan bergenre Malaysia.

Pernah saya mendengar satu surah klasik tentang wartawan Malaysia. Surah ini disampaikan kepada saya oleh seorang bekas wartawan New Straits Times (NST) yang akhirnya kami sama-sama bekerja di BBC London.

Konsert Tina Turner

Surah ini bermula dengan lawatan Tina Turner penyanyi dari Amerika. Tina Turner telah sampai ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert di Stadium Negara pada 25 Febuari 1988.

Ketika sampai di lapangan terbang Subang ratu rock n roll dan irama rhytm ini telah diserbu oleh pengamal media. Satu sidang akhbar telah diadakan. Jurugambar dan perakam berita dari stesen televisyen juga sibuk. Semua ingin mendapat berita tentang ratu rock ini.

Dengan rambut afro mengerbang dan kasut tinggi tumitnya, Tina Turner telah bersedia untuk menjawab apa sahaja soalan dari wartawan. Sidang akhbar ini juga bertujuan untuk membuat promosi jualan tiket.

‘Miss Tina… I am Chin Ling (bukan nama sebenar) from Female magazine. The leading fashion and beauty magazine in Malaysia…

‘Yes.. what is your question darling…' Sampuk Tina.

‘Miss Tina.. may I know when do you start singing?’

Tina Turner menarik badan ke belakang. Dia tergamam. Semua wartawan Malaysia tak faham apa yang sedang berlaku. Untuk beberapa ketika semua senyap menunggu jawapan dari Miss Tina.

‘Darling, go and read my book... Read it before you come here.’

Jawapan Miss Tina mungkin masih tidak difahami oleh ramai para wartawan dan pemberita bergenre bodek hingga ke hari ini.

Sidang akhbar di pejabat Zahid

Saya sendiri pun mengalami perkara yang sama. Pada tahun 1994 setelah dua puluh tahun berkelana saya pulang ke Malaysia. Tiga hari sesudah sampai ke Jelebu saya telah ditahan di bawah ISA - Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dua minggu kemudian saya telah dibebaskan.

Dua hari setelah dibebaskan, saya telah mengadakan sidang akhbar di pejabat Datuk Zahid Hamidi - kawan lama saya. Ramai pengamal media yang datang ke sidang akhbar ini.

Tiba-tiba ada seorang wartawan entah dari akhbar mana dengan bangga bangun bertanya.

‘Encik Hishamuddin apa sebenarnya berlaku pada tahun 1974?’

Saya pandang muka mamat ini. Saya teringat surah Tina Turner yang telah saya dengar awal di London sebelum saya pulang ke Malaysia. Saya nak ketawa salah. Saya nak menangis pun salah.

Nak ber’darling’ macam Miss Tina dengan mamat ini nanti disalah tafsir pula.

Nasib baik ketika itu ada kawan lama dari Universiti Malaya. Lalu saya minta kawan lama saya tarik keluar mamat pemberita ini dan beri dia kuliah tentang perjuangan petani dan penoreh getah di Baling pada tahun 1974.

Demi Zeus, saya tidak faham kenapa si mamat pemberita ini dihantar menemu bual saya tanpa si mamat ini mengetahui latar belakang perjuangan warga miskin Baling 1974.

Hari ini dengan adanya internet mustahil tidak dapat dibaca kembali babak sejarah 1974. Mustahil tidak dapat diketahui bila dan dimana Tina Turner mula menyanyi.

Jika masih ada pemberita atau wartawan yang datang tanpa mengetahui latar belakang apa yang ingin di sidang akhbarkan, maka saya akan sumbat telefon bimbit Nokia saya ke mulut wartawan ini. Amin.

Wajib diberitahu di sini bahawa kerja sebagai pemberita dan wartawan ini adalah tugas yang maha suci. Satu pekerjaan yang amat-amat dihormati.

Kekuatan keempat negara

Apakah para wartawan dan pemberita genre Malaysia tidak sedar bahawa semua mereka ini digulungkan ke dalam - the fourth estate (kekuatan keempat setelah kehakiman, parlimen dan eksekutif). Atau perkataan ‘estate’ ini hanya memberi kefahaman kepada mereka sebagai tanah yang bersangutan dengan estet kebun getah.

Astaga. Demi Zeus, saya beharap mereka akan sedar makna estate ini.

Untuk memahami konsep estate ini mari kita kembali ke zaman sebelum revolusi Perancis 1789. Ini pada zaman Tsar, Maharaja, Sultan dan Raja memerintah ikut suka hati.

Masyarakat dibahagi kepada tiga kumpulan atau estate. Estate pertama kaum agamawan. Estate kedua kaum bangsawan. Estate ketiga ialah rakyat jelata.

Setelah dipenggal kepala Raja Louis ke 16 di Perancis, maka di parlimen United Kingdom pula muncul konsep - the fourth estate. Ini untuk memberi penghormataan kepada para wartawan dan pemberita yang melaporkan apa yang berlaku di parlimen.

Malah dalam konteks moden pemberita dan wartawan memainkan peranan yang amat-amat penting. Tanpa mereka tamadun moden jadi kucar kacir.

Utusan Melayu sebelum menjadi akhbar ‘kaki bodek ‘milik United Malays National Organisation telah memainkan peranan yang amat penting dalam menggaris dan melaungkan ombak merdeka kepada bani Melayu.

Tanpa Utusan Melayu adalah mustahil untuk bani Melayu diberi kefahamam tentang garis politik Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang menuntut Merdeka. Atau garis perjuangan radikal Angkatan Pemuda Insaf (API) yang bersedia mengangkat senjata melawan Inggeris.

Malah para nasionalis awal Melayu semuanya berpayung di bawah Utusan atau terlibat dalam bidang kewartawan atau penulisan.

Wajib dirakam untuk sejarah bahawa orang yang didakwa menjadi kader bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengajukan konsep Barisan Nasional dan membuat hubungan diplomatik dengan China Merah.

Orang itu ialah seorang wartawan bernama Abdul Samad Ismail (gambar).Dia juga penulis ucapan dan penasihat perdana menteri Abdul Razak Husin hingga ditahan di bawah ISA pada tahun 1976.

Kemenangan rakyat pada 9 Mei 2018 pasti telah memeranjatkan ramai para wartawan dan pemberita yang dibaluti oleh budaya bodek.

Saya berani berkata sedemikian kerana saya amat yakin budaya bodek ini amat tebal di kalangan para wartawan dan pengamal media di Malaysia ketika ini.

Kalau dulu mereka membodek Najib. Kalau dulu mereka membodek Rosmah. Kalau dulu mereka membodek Zahid Hamidi tup tup tup pada 10 Mei 2018 mereka mula beralih kiblat.

Kini mereka membodek Mahathir. Mula membodek Azmin Ali. Mula membodek Lim Guan Eng.

Dalam sekelip mata mereka berubah tuan. Hakikatnya budaya bodek amat-amat tebal dalam rangka dan nafas para wartawan dan pengamal media Malaysia. Untuk saya ini amat bahaya. Pada hemat saya ini perosak agenda perubahan.

Saya tidak mahu mereka membodek. Saya tidak mahu mereka menyokong Pakatan Harapan. Atau membenci Barisan Nasional. Parti mana yang mereka sokong itu hak mereka.

Apa yang saya mahu ialah mereka menjadi wartawan, pemberita dan pengamal media yang jujur dan tulen. Bukan mat bodek atau minah bodek.

Hentikan perangai bodek. Perangai bodek inilah yang telah membawa kemusnahan kepada Tanah Melayu selama ini. Perangai bodek ini telah menjadikan United Malays National Organisation beraja di hati dan bersultan di mata selama 60 tahun.

Perangai bodek inilah yang membuatkan bertan-tan pasir didakwa dijual ke Singapura walau pun dilarang. Perangai bodek inilah yang menjadikan Rosmah terkinja-kinja sebagai First Lady of Malaysia sambil merembat harta negara. Perangai bodek inilah yang membolehkan Jho Low menipu dan menyonglap duit rakyat berbilion ringgit.

Hentikan budaya - 'Maaf Datuk… Maaf Tan Seri.. Maaf Datuk Seri... Maaf Tun… nak tanya sikit jangan marah…’

Woit. Tugas kamu sebagai wartawan dan pemberita bukan sebagai peminta maaf.

Tugas sebagai wartawan ialah mencari kebenaran. Menulis kebenaran. Melapor kebenaran. Wartawan bukan ejen kerajaan Pakatan Harapan. Atau ejen kerajaan Barisan Nasional.

Wartawan bukan ejen kepada kuasa. Wartawan ialah ejen rakyat. Para wartawan bertanggung jawab kepada orang ramai. Piagam ini wajib difahami.

Rakan sejawat kamu ialah Pak Sako, Ahmad Boestamam, Rahim Kajai, Samad Ismail, Tongkat Waran, Carl Bernstein, Bob Woodward, Saymour Hersh dan John Pilger. Kamu juga wajib mengingati arwah Jamal Khashoggi yang disalib.

Dan paling terkini kawan kamu yang wajib dijadikan contoh ialah Julian Assange. Anak muda kelahiran Australia ini sedang terperangkap di kedutaan Ecuador London untuk tahun ke enam. Sosok ini adalah pemula WikiLeaks - kewartawanan zaman internet dan digital.

Kamu wajib juga mengenali Jeremy Hammond pemecah berita yang kini merengkok dalam penjara di Milan Michigan Amerika. Jeremy ditahan semenjak bulan Mach 2012.

Jika nama-nama ini amat asing bagi kamu ertinya telah sampai masa untuk kamu mula membaca dan mengkaji apa itu kewartawanan. Jika tidak kamu akan terus tenggelam dalam budaya bodek.

Mula budaya baru

Kewartawanan adalah perjuangan. Berjuang untuk menegakkan keadilan. Berjuang untuk kebenaran. Bukan untuk membodek.

Cuba mulakan budaya baru. Sila tanya Mat Sabu. Sila tanya Anwar Ibrahim. Sila tanya Mazlee Menteri Pendidikan. Sila tanyakan mereka contoh soalan begini:

‘Abang Mat.. kenduri kahwin anak Abang Mat baru selesai. Ini kenduri besar. Abang Mat baru sahaja menjadi menteri. Adakah kenduri mewah ini ditaja oleh tauke senjata?’

‘Saudara Anwar.. ketika pilihan raya kecil di Port Dickson dulu ada dilaporkan saorang kepala samseng datang menyambut saudara untuk jamuan makan malam. Apakah jamuan ini ditaja oleh kepala samseng ini? Apa hubungan saudara dengan kepala samseng ini?

‘Salamualiakum Ya Akhi Mazlee mana lebih penting, menghapus Akta Universiti (Auku) dan mengembalikan hak pelajar untuk berpersatuan seperti tahun 1960-an dan 1970-an daripada mengubah warna kasut sekolah? Apakah ada syarikat kasut yang mencadangkan kepada saudara perubahan ini?’

Jika soalan-soalan berbentuk ini terus keluar dari mulut wartawan dan pemberita Malaysia, saya yakin masa depan Malaysia akan cemerlang.

Tetapi jika budaya 'maaf Datuk… maaf Tan Seri.. maaf Datin Seri…' diteruskan maka masa depan Malaysia Baru akan terus gelap.

No comments:

Post a Comment