Saturday, January 5, 2019

UMNO hilang pemimpin 'heavyweight'?

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bh.com.my

APAKAH benar UMNO kini kehilangan ramai pemimpin heavyweight sehingga nada pemimpin kanan parti itu mula ber- ubah dalam menentukan arah haluan dan survival perjuangan seterusnya?

Juga sejauh mana kebenaran cakap-cakap politik bahawa parti terbesar yang pernah mewakili Melayu itu sudah boleh melupakan hasrat untuk berkuasa semula, berbanding keyakinan sebelum ini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan ditumbangkan mereka sebelum penggal pemerintahan berakhir?

Mungkin cakap-cakap ini berasas melihat tindak-tanduk pemimpinnya yang mula menggunakan strategi pintu belakang untuk mengajak wakil rak- yat Melayu atau Islam supaya membenci DAP, yang dengan sendirinya melompat ke dalam parti itu, selain bergabung dengan PAS.

Sebaliknya, semakin ramai Ahli Parlimen meninggalkan parti itu, selain percakaran dengan PAS yang masing-masing mahu menonjolkan kekuatan dan memperkecilkan kawan.

Antara nama besar meninggalkan parti itu seperti bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.


Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa secara berterusan, sama ada menerusi ceramah politik atau perbahasan di Dewan Rakyat menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan PH tidak akan mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau memberi contoh, dalam sejarah dunia terbukti beberapa parti pemerintah baharu tersungkur selepas mengalahkan parti pemerintah lama seperti Parti Janata (JP) di India dan Parti Demokrasi Jepun (DPJ) di Negara Matahari Terbit itu.

JP tumbang tiga tahun selepas menewaskan Parti Kongres Kebangsaan India, manakala DPJ tumbang juga dalam tempoh sama selepas menewaskan Parti Demokrasi Liberal.

Bina keyakinan

Namun, pada 31 Disember lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat bernada kendur apabila menggesa UMNO dan kepemimpinannya segera melupakan hasrat berkuasa semula buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan membina kembali keyakinan orang Melayu terhadap parti itu.

Beliau yang menjalankan tugas Presiden menjelaskan, UMNO akan lebih menumpukan usaha menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu dan tidak terdesak kembali memerintah dengan merampas kerusi parti lain.

Kalangan pemerhati politik melihat UMNO bakal berdepan krisis kehilangan lebih ramai pemimpin ‘heavyweight’ sepanjang tahun ini yang menyebabkan parti itu terus lemah dan menuju kehancuran.

Pada 18 Disember lalu, Mohamad Hassan diberi kepercayaan menjalankan tugas Presiden parti berkuat kuasa serta-merta dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan itu dibuat bagi mengelak lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO keluar daripada parti itu. Ini juga bagi menyelamatkan UMNO daripada terus berpecah dan demi penyatuan ahlinya. Sambil mengakui beliau merasai keresahan segelintir pimpinan UMNO kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan seperti beliau alami.

Pada 19 Oktober tahun lalu, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas 45 pertuduhan dengan 10 pertuduhan membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM100 juta.

Pada 14 Disember lalu pula, beliau didakwa satu pertuduhan tambahan di mahkamah sama atas kesalahan pecah amanah wang RM10 juta milik Yayasan Akal Budi, tiga tahun lalu.

Pendakwaan itu menyukarkan beliau menjalankan tugas Presiden parti, sekali gus memberi kepercayaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

Mungkinkah tugas itu akan dipikul Tok Mat sehingga PRU-15 atau sehingga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu selesai membela diri di mahkamah?

Selepas Tok Mat menerajui parti itu, isu dan spekulasi wakil rakyat UMNO, sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), juga Ketua Bahagian meninggalkan parti tidak berakhir.

Walaupun selepas peralihan kepemimpinan dikatakan secara sementara itu belum ada pemimpin kanan yang meninggalkan parti, namun seperti pepatah Melayu ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’. Pergolakan pasti berlaku pada bila-bila masa.

Dalam pemilihan parti pada Jun lalu, Tok Mat dan Annuar bersaing untuk merebut jawatan nombor dua parti dan dimenangi oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu. Ini dilihat oleh pemerhati politik boleh mewujudkan sedikit sebanyak ‘pergeseran’ di antara mereka untuk masing-masing membuktikan siapa lebih hebat menerajui parti.

Pemerhati politik menjangkakan Ahmad Zahid juga kemungkinan besar akan terus ‘bercuti’ dan tidak mustahil terus berundur, sekali gus UMNO akan kehilangan pemimpin yang mempunyai ramai pengikut.

Jarakkan diri daripada UMNO

Bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga dilihat semakin menjarakkan diri dengan UMNO yang tentu memberi kesan kekuatan parti itu.

Apatah lagi tersiar gambar keluarga Hishammuddin bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercuti di Maghribi baru-baru ini, seperti mengiyakan spekulasi bahawa bekas Menteri Pertahanan itu mahu menjauhkan diri daripada partinya.

Begitu juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dikatakan semakin jauh dengan kepemimpinan tertinggi UMNO.

Baru-baru ini, menerusi gambar berlatarbelakangkan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Khairy yang memperagakan pakaian sukan, di samping basikalnya seolah-olah cuba menyuntik mesej bahawa hasratnya menyerahkan borang bagi menjadi ahli terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehingga sanggup berbasikal, menemui jalan buntu.

Walaupun hanya gurauan, tidak mustahil bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan meninggalkan parti, apatah lagi sebelum ini beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar.

Bagi pemimpin sayap parti, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dikatakan masih terlalu mentah dalam sepak terajang politik.

Walaupun sesekali mereka bersuara, hujah mereka mudah dipatahkan lawan dan seakan-akan tenggelam berbanding nama besar UMNO sebelum ini. Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun pernah menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada era pemerintahan Barisan Nasional (BN), beliau bukan pemimpin berpengaruh.

Dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, namun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis parti itu yang mewakili BN tewas kepada calon PH, selain gagal membantu PAS menawan DUN Seri Setia juga pada PRK, tahun lalu.

Pemimpin negeri

Tok Mat dan dua lagi Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula tidak banyak terbabit secara langsung dalam politik nasional, sebaliknya hanya lebih dikenali sebagai pemimpin peringkat negeri.

Ketiga-tiganya mempunyai sejarah kehilangan kuasa pada pilihan raya umum, iaitu Kedah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) ketika Mahdzir menjadi Menteri Besar pada PRU-12, manakala Tok Mat dan Mohamed Khaled masing-masing Menteri Besar Negeri Sembilan dan Johor ketika PH menawan negeri itu pada PRU-14, Mei tahun lalu.

Mohamed Khaled menyifatkan bekas wakil rakyat UMNO yang menyertai BERSATU sebagai ‘pelarian UMNO’ yang membawa virus yang akan merosakkan BERSATU seperti mereka menjadi barah dalam UMNO sebelum ini.

Justeru, seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BERSATU boleh menjadi ‘rumah’ baharu untuk orang Melayu yang ketika ini seakan-akan dibelenggu ketakutan dan rasa terancam selepas UMNO tersungkur pada PRU-14, pasti lebih ramai wakil rakyat UMNO berkira-kira atau menunggu hari untuk menyertai parti baharu itu.

No comments:

Post a Comment