Wednesday, March 6, 2019

3 ditahan, 1 diburu kes hina Islam, Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Aisyah

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki, semalam dan kelmarin, serta memburu seorang lagi berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Ketiga-tiga mereka ditahan dalam serbuan di Labuan, Sabah; Bau, Sarawak; dan Petaling Jaya, Selangor, susulan laporan polis yang diterima.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan, hari ini, berkata empat individu terbabit dikenal pasti susulan komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook serta Twitter masing-masing.

“Suspek pertama ditahan di Labuan, kelmarin, akibat membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu posting dalam akaun Facebook.

“Suspek, Mohd Sharulnizam Stanley Sigan, 29, kini direman empat hari hingga 7 Mac ini,” katanya.



Beliau berkata, setakat hari ini, sebanyak 15 laporan polis diterima berhubung posting penghinaan yang dimuat naik dalam akaun Facebook menggunakan nama “Bakakuk’ dipercayai milik suspek itu.

“Tangkapan kedua dibuat di Bau ke atas seorang lelaki bernama Alister anak Cogia, 22, susulan komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui akaun Facebook ‘Ayea Yea’.

“Kita sudah menerima 10 laporan polis terhadapnya dan suspek kini direman empat hari hingga 7 Mac ini,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, seorang lagi individu ditahan semalam dalam serbuan di sebuah lokasi di Petaling Jaya.

“Suspek dikenali sebagai Yazid Kong Abdullah, 52, ditahan susulan komen jelik terhadap agama Islam yang dimuat naik melalui akaun Facebook ‘Yazid Kong’.

“Permohonan reman ke atasnya akan dibuat hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki dikenal pasti sebagai Alvin Chow Mun Fai, 43, dipercayai berada di ibu negara.

“Ini susulan komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW yang dimuat naik dalam akaun Twitter menggunakan nama @alvinchow333.

“Usaha mengesan dan menahan suspek sedang dijalankan,” katanya sambil memaklumkan semua kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seterusnya, Mohamad Fuzi berkata, polis menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara dan 16 kertas siasatan sudah dibuka.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Tindakan mencabar dan menghina kepercayaan serta agama mana-mana kaum sehingga membangkitkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini, perlu dihentikan serta-merta.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mengendahkan perkara ini,” katanya – Berita harian

No comments:

Post a Comment