Tuesday, September 10, 2019

UMNO DAN PAS HASUT ISU PERKAUMAN, NAJIB SERAH SEMUA KEPADA JHO LOW



Kebelakangan ini UMNO semakin galak meniupkan api perkauman. UMNO dan PAS sangat yakin mereka boleh merampas tampuk pemerintahan negara dengan helah membuatkan orang Melayu membenci kaum lain terutamanya Cina.

UMNO tidak perlu menjawab mengenai kerosakan berpuluh tahun yang mereka tinggalkan. PAS tidak perlu menjawab 60 tahun mereka menuduh UMNO tidak Islam, malah satu ketika menuduh UMNO kafir.

Kafir pun kafirlah, asalkan dapat menang mudah. Itu fikir PAS.


UMNO pun tidak kisah mengangkat ego PAS untuk sementara waktu, asalkan dapat menang mudah.

UMNO dan PAS tahu mengapi-apikan sentimen perkauman itu cara yang lebih mudah dari menjadi pembangkang yang berwibawa.

Pembangkang berwibawa menolak rasuah dan menjadi polis mengawasi kerajaan. UMNO dan PAS campak wibawa dengan menjunjung Najib walaupun satu dunia tahu perihal wang rakyat yang dirompak melalui 1MDB.

Pembangkang berwibawa memerah otak mencadangkan kaedah dan dasar yang lebih baik dari yang dilaksanakan kerajaan untuk membela rakyat. UMNO dan PAS bukan peduli pun pasal kaedah membela rakyat, hingga sekarang tidak ada satu cadangan bernas pun yang keluar dari kepala pimpinan UMNO dan PAS selain isu perkauman.

UMNO dan PAS menjaja yang Cina sudah berkuasa di negara ini.

Najib pun turut sama mahu menjadi juragan. Dia yakin pengikutnya di media sosial ramai dan setiap yang dicampaknya akan dijilat hidup-hidup oleh pengikutnya.

Najib akan terus galak mencampak bahan baru untuk menutup malu besar yang didedahkan di mahkamah setiap hari.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan menyeleweng wang rakyat. Bukan seringgit dua, beribu-ribu juta jumlahnya. Cukup untuk bagi biasiswa kepada ratusan ribu keluarga.

Selain dari bukti-bukti wang masuk ke akaun Najib, perbicaraan di mahkamah juga membuktikan perkara-perkara berikut:

1) Najib dan Jho Low ibarat merpati sejoli, sangat rapat dan sangat memahami. Malah Najib lebih mempercayai Jho Low dalam bab-bab menghilangkan wang rakyat berbanding pegawai-pegawai tinggi Melayu yang lain dalam pejabatnya

2) Percayanya Najib kepada Jho Low ini, sehinggakan apabila 1MDB sudah menjadi isu dan wang hilang sudah diketahui orang ramai, Jho Low juga yang dipercayai untuk menyediakan jawapan-jawapan Pejabat Perdana Menteri mengenai 1MDB.

UMNO dan PAS yang kat bawah ini kecoh mengenai Cina ambil alih Malaysia.

Najib tersenyum lebar.

Dia lagi cepat, dah lama dia serahkan semuanya pasal 1MDB (dari wang rakyat) kepada Jho Low.

Najib tergelak besar.

Bila dia kata dia tak kenal Jho Low dalam tahun 2015 dulu, orang UMNO semua percaya. Pimpinan PAS jadi pak sanggup tolong beri cop “halal” kepada bersihnya pentadbiran Najib.

Kini Najib tergelak lebih besar.

Bila dia api-apikan soal perkauman, dia yakin orang UMNO dan PAS akan percaya lagi.

Apa tidaknya, selama ini dia kata Jho Low itu anak Melayu, mati-matian orang UMNO dan PAS yakin yang Jho Low itu anak Melayu.

Semasa wang rakyat hilang beribu juta di bawah pentadbiran Najib, orang Melayu UMNO dan PAS tidak peduli sedikit pun kerana ia satu kesilapan kecil seorang anak Melayu bernama Jho Low yang cukup dipercayai Najib.

Rafizi Ramli

1 comment: