Saturday, March 28, 2020

Kerajaan belanja RM25 bilion saja, bukan RM250 bilion



Majlis Presiden Pakatan menyambut baik nada berdamai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin ketika beliau menyampaikan pakej rangsangan ekonomi.

Beliau mengakui bahawa “kerajaan ini bukan kerajaan dipilih rakyat”, yang “negara ini sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan”, dan “situasi dihadapi sekarang tidak pernah berlaku dalam sejarah”.

Oleh itu, kami ingin mengulangi mesej Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini bahawa Kerajaan harus menggunakan pendekatan yang lebih tulen dan ikhlas untuk mengendalikan krisis ini dan mengenepikan persaingan politik pada ketika ini.

Pakatan Harapan bersedia untuk memberi kerjasama jika Kerajaan memulakan langkah dwipartisan yang tulus dan ikhlas.

Rakyat diberitahu bahawa pakej rangsangan yang diumumkan adalah bernilai RM250 bilion.

Namun, selepas pemerhatian yang teliti, rangsangan fiskal terus sebenar oleh Kerajaan hanyalah RM25 bilion, yang akan dibiayai melalui pertambahan pinjaman Kerajaan.
Rangsangan ini sebahagian besarnya dapat dilaksanakan hasil daripada reformasi dalam perolehan dan kewangan kerajaan dalam tempoh 2 tahun yang lalu.

Contohnya, penjimatan daripada projek mega-projek LRT3, MRT2 dan ECRL berjumlah RM45 bilion. Konsesi PLUS yang baru disusun semula bukan sahaja memberikan diskaun 18% segera kepada kadar tol kepada penumpang, ia juga segera melepaskan Kerajaan daripada terus membayar pampasan kepada pengendali lebuh raya.

Dana yang sebelum ini diperuntukkan untuk pampasan sedemikian di dalam Bajet 2020 kini boleh diperuntukkan semula untuk pakej rangsangan ini.

Kami mengalu-alukan pembayaran bantuan tunai ​‘one-off’ RM1,600 untuk isi rumah dengan pendapatan bulanan bawah RM4,000, RM1,000 untuk isi rumah dengan pendapatan bulanan melebihi RM4,000, serta bantuan tunai kepada individu yang belum berkahwin dan mahasiswa.

Pakatan Harapan telah mencadangkan pembayaran bantuan tunai RM1,000 pada bulan Mac dan pembayaran RM1,000 pada bulan April.

Pakej yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah baik untuk “Makcik Kiah”, watak yang digunakannya mewakili rakyat Malaysia biasa, selama dua bulan. Dari segi itu, ia adalah dialu-alukan.

Pakej ini dilihat dapat bertahan dalam tempoh dua bulan, namun begitu, ia tidak memberi banyak impak melangkaui tempoh dua bulan bagi “Makcik Kiah” dan seluruh pekerja dan peniaga di Malaysia.

Lebih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menanggung kesan ekonomi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh itu, subsidi gaji RM600 bagi setiap pekerja tidak mencukupi untuk mengurangkan kesan krisis ini. Kami ingin mencadangkan supaya subsidi gaji dinaikkan kepada RM1,200 bagi setiap pekerja.

Selain daripada suntikan fiskal sebanyak RM25 bilion, perkara lain yang terdapat dalam pakej rangsangan adalah:

1. Moratorium pinjaman bagi individu (ditanggung oleh bank) – RM63 bilion
2. Penangguhan pinjaman untuk perniagaan (ditanggung oleh bank) – RM35 bilion
3. Pengeluaran KWSP (simpanan dari rakyat) – RM40 bilion
4. Pengeluaran Skim Persaraan Swasta (sehingga RM1500) – RM3 bilion
5. Penangguhan pinjaman PTPTN – RM750 juta
6. Penangguhan pinjaman PTPK – RM149 juta
7. Diskaun untuk elektrik – RM530 juta
8. Internet percuma (disediakan oleh Telcom) – RM600 juta
9. Dana jamin – RM50 bilion
10. Dana Jaminan Makanan – RM1 bilion
11. Dana Khas Jaminan untuk Nelayan – RM64.6 juta
12. Kemudahan pinjaman Bantuan Khas untuk PKS – RM5 bilion
13. Kemudahan Peruntukan tambahan untuk pinjaman kredit mikro – RM500 juta
14. Kemudahan pinjaman oleh Syarikat Jaminan Kewangan Syarikat – RM5 bil

Walaupun ini hanya pengiraan kasar, kerana terdapat beberapa butiran tidak jelas daripada ucapan PM. Hal ini bermakna sekitar RM205 bilion daripada RM250 bilion yang diumumkan sebenarnya merupakan penangguhan atau jaminan pinjaman.

Terdapat anggapan dalam pandangan Perdana Menteri bahawa peniaga masih berminat untuk meminjam. Tetapi, ia hanya akan berlaku jika negara kembali berurusan seperti biasa setelah PKP ditamatkan pada satu ketika dan perniagaan masih beroperasi seiring dengan permintaan ekonomi untuk barangan dan perkhidmatan.

Dapat dilihat juga bahawa Kerajaan bercadang untuk membiayai suntikan fiskal yang agak kecil melalui pemotongan perbelanjaan kementerian lain yang akan mencetuskan kitaran penjimatan yang tidak perlu untuk ekonomi sekarang ini.

Kerajaan, menurut Perdana Menteri, tidak berniat untuk terus membuat pinjaman bagi membiayai suntikan fiskal, “demi kepentingan jangka panjang,” mungkin untuk “waktu-waktu getir”.

Sebenarnya kita sudah berada di situasi getir dan krisis ini merupakan satu malapetaka terburuk di dalam sejarah negara.

Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan suntikan fiskal yang lebih besar dalam beberapa minggu akan datang. Jika tidak ekonomi negara mungkin akan menjurus kepada keadaan lebih buruk dengan lebih banyak kehilangan pekerjaan.

Kami juga akan menggesa Kerajaan melancarkan penyelarasan seakan “waktu perang” untuk proses perolehan, pengeluaran dan pembekalan bagi:

1. makanan, sayur-sayuran dan pengeluaran pertanian
2. sarung tangan perubatan untuk pasaran tempatan dan dunia
3. Lima bekalan perubatan yang perlu diutamakan waktu ini
a. topeng muka
b. kit pengujian
c. sanitizer
d. peralatan Perlindungan Peribadi (PPE)
e. alat bantuan pernafasan
4. platform atas talian/ e-dagang
5. logistik

Oleh sebab pakej rangsangan ini berkesan untuk dua bulan, Pakatan Harapan menyeru kerajaan, atas semangat dwipartisan sejati untuk meneruskan persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020, atau membawanya ke hadapan, sebaik sahaja PKP berakhir.

Hal ini adalah dapat membolehkan kerajaan dan pembangkang membentuk pelan tindakan secara dwipartisan supaya negara bergerak ke hadapan, termasuk merangka Belanjawan baharu dengan mengambil kira semua senario dan faktor yang terlibat.

Ia merupakan satu kelaziman dalam negara-negara demokratik untuk membahaskan pakej rangsangan ekonomi kerajaan di parlimen untuk memastikan pelaksanaan dijalankan dengan baik, serta terdapat pemantauan.

Krisis ini memerlukan pendekatan ekonomi yang “melakukan apa sahaja yang diperlukan”. Demi kepentingan negara dan rakyat, kerajaan perlu mengambil pendekatan dwipartisan untuk melakukan semaksima mungkin supaya kita dapat mengelakkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang belum pernah kita hadapi sebelum ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara

Lim Guan Eng
Setiausaha Agung,
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

1 comment:

  1. Kita seharusnya bersyukur atas perubahan kepimpinan sekarang ini... ketetapan Allah yg berlaku sekarang ini adalah utk kebaikan bersama..Allah maha mengetahui apa yg ada dalam hati kita... Terimalah kenyataan ini dgn penuh Rasional...

    ReplyDelete