Monday, March 2, 2020

Saya sedia dipecat - Mukhriz

 https://img.astroawani.com/2019-09/81569447653_DatukSeriMukhriz.jpg
PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau bersedia berdepan sebarang risiko termasuk dipecat dari parti.

Beliau berkata, tindakan pemecatan itu berkemungkinan turut membabitkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Itu satu risiko yang terpaksa kami hadap dan saya sudah biasa dipecat.

“Jadi tindakan dari parti yang mana kami masih berjawatan termasuk Dr. Mahathir sendiri sebagai Pengerusi parti, akan beri penerangan kepada ahli parti sampai ke peringkat akar umbi.

"(Itu) untuk menerangkan dan menjelaskan apa yang berlaku dan keputusan yang telah buat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti tidak langsung memihak kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Bahagian dan Sayap Armada di sini pada Ahad.


Dalam pada itu, Mukhriz sekali lagi menegaskan, pendirian parti tetap sama dengan merujuk dua ketetapan yang diputuskan dalam mesyuarat MPT pada Rabu lalu.

“Yang pertamanya ialah calon Perdana Menteri daripada Bersatu, tak lain tak bukan hanya Dr. Mahathir. Tidak pernah ada satu keputusan dari MPT menyatakan Muhyiddin adalah calon Perdana Menteri.

“Kedua, MPT sebulat suara telah membuat keputusan untuk minta Dr. Mahathir menarik balik keputusan beliau untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi parti,” katanya.

Rabu lalu, MPT Bersatu sebulat suara menolak surat peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, MPT juga akan terus menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment