Sunday, April 12, 2020

Kesihatan, ekonomi, nyawa atau duit?



KETIKA berhadapan dengan krisis wabak Covid-19, timbul dilema ke atas isu yang manakah lebih penting sama ada kesihatan, ekonomi, nyawa atau duit? Wabak itu dianggap merebak sepantas kilat tanpa diketahui asalnya dan di mana.

Benarkah pertembungan antara kesihatan dan ekonomi menyebabkan sukar untuk kita menentukan sama ada kesihatan harus diutamakan atau membuka pintu ekonomi semula sepenuhnya supaya yang terjejas kehidupan dapat menyambung hayat mereka.

Ada anggota masyarakat menyatakan untuk makan, mereka perlu bekerja. Ungkapannya 'disebabkan virus korona kita boleh mati, tidak makan juga akan menyebabkan kita mati'. Dalam kesihatan ada ekonomi; dalam ekonomi ada kesihatan; hubungan kedua-duanya sebenarnya lebih bersifat resiprokal yang saling melengkapi.

Sepanjang tempoh masa ini, ramai bergelut dengan pelbagai isu. Walaupun pada awal seronok dengan perubahan rutin harian yang sibuk bermesyuarat atau bekerja, tetapi kemudiannya timbul persoalan bagaimanakah mahu menukar rutin ini pasca-Covid-19?


Kita tahu sirah kehidupan pasti berubah. Ia tidak sama lagi tanpa kita ketahui bilakah akan dinamakan tempoh masa pasca-Covid-19.

Jika ia memakan masa, sudah pasti kesukaran akan ketara untuk menyesuaikan diri semula dengan amalan tradisi kita.

Satu set nilai baharu akan muncul termasuk dalam aspek karakter dan sahsiah jati diri seperti bersalaman, perjumpaan kawan-kawan dan saudara; di pusat asuhan; menyambut tetamu di rumah atau pejabat; kantin mahupun tempat tinggal di sekolah dan universiti; tempat bekerja; pasar raya; panggung dan tempat awam. Ia sudah tidak sama.

Pertembungan antara dua budaya iaitu tradisi dan pasca-Covid-19 tidak dapat dielak tetapi jangan kita korbankan nilai manusiawi yang terbina sekian lama sebagai asas dalam kehidupan kita semata-mata kerana kedangkalan kita untuk menunjukkan fitrah solidariti dalam berhadapan dengannya.

Penjagaan kesihatan dan ekonomi penting untuk kita. Kita juga dinasihatkan tidak mempunyai aktiviti berkelompok besar untuk jangka masa enam bulan sehingga setahun.

Perubahan struktur sosial yang disesuaikan dengan penjarakkan fizikal dan kebersihan akan berlaku.

Apakah nilai manusiawi yang pekat dengan jiwa keinsanan dan kemanusiaan akan terhakis dan perlahan-lahan luntur bila mana gaya hidup berubah. Soalnya, adakah kita mahu terus hidup atau lebih mementingkan gaya hidup kita?

Di samping perubahan norma dan nilai budaya kesihatan, bagaimana untuk mengatasi tekanan mereka yang masih dibelenggu oleh ketiadaan wang untuk membayar sewa, makan minum, perbelanjaan sekolah dan universiti atau pakaian dan tempat tinggal.

Contohnya, keluarga yang tinggal di PPR dengan enam orang anak yang masih bersekolah, apakah akan ada sistem sokongan sosial atau jaringan keselamatan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dengan tekanan, kemurungan dan perang psikologi sehingga bertanggapan kesihatan tidak penting tetapi bekerja untuk meneruskan kehidupan keluarga lebih penting walau berisiko tinggi.

Ini mungkin berbeza dengan keluarga yang ada segala kemewahan tanpa perlu risau tentang duit kerana bagi mereka, barangkali bukan soal hidup tetapi gaya hidup!

Ujian ini besar untuk kepimpinan. Kewibawaan sudah mula diterima kerana beberapa keputusan bersendikan kepada ‘kepimpinan prihatin’. Yang penting pasukan dalam kerajaan perlu terus bersama, termasuk mengiktiraf perjawatan awam.

Perancangan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan sistem penyampaian yang efektif agar kesihatan terus diberi perhatian.

Pandemik Covid-19 menguji masyarakat Malaysia yang banyak bergantung kepada pendapatan harian terutama golongan B40 dan M20 bawahan.

Selaras dengan keutamaan untuk menurunkan kadar kematian dan kes saban hari meningkat dengan kemunculan beberapa kluster baharu wabak itu, langkah yang diambil oleh kita penting untuk menentukan secepat manakah kita boleh kembali ke alam biasa dan tidak terikat dengan alam maya.

Ini kerana, sepanjang tempoh masa ini juga melihat seolah-olah media sosial menjadi satu platform baharu ke arah melahirkan ‘komuniti bayangan alam maya’ seperti mana konsep Imagined Community-Benedict Anderson.

Kesihatan dan ekonomi sinonim dengan nyawa dan duit sama penting, tidak ada kompromi mengenainya. Kita juga wajar meningkatkan nilai manusiawi dan menjejaki tawaran baru abad ke-21 ini.

Abad ini mesti kita jadikan abad manusiawi, mengutamakan soal hidup dan bukan gaya hidup; satu kesimbangan baharu antara kesihatan dan ekonomi.


* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment