Monday, August 10, 2020

Dari Sivagangga ke Napoh, akhirnya TEMCO

Kluster PUI Sivagangga paling mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Kes indeks kluster ini telah ingkar arahan HSO dan menyebarkan jangkitan kepada pekerja-pekerjanya di kedai makan di Napoh, Kedah, serta kepada pelanggan dan seterusnya merebak ahli keluarga dan saudara mara terdekat.

Setakat 9 Ogos, 45 positif dari kluster ini dan telah menjangkau generasi ketiga melibatkan tiga negeri, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Sivagangga juga dieja Sivagangei atau Sivagangi adalah satu daripada 9 daerah di negeri selatan India, Tamil Nadu.

Kluster ini dinamakan Sivagangga kerana kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke daerah itu.

PUI pula digunakan untuk individu yang baru pulang dari luar negara.

Sivagangga dilaporkan daerah paling rendah kes COVID19 di Tamil Nadu.

Kluster ini adalah contoh teladan terbaik akibat yang berlaku jika kita ingkar atau melanggar arahan kerajaan.

Akibat kluster ini, 4 mukim di Kubang Pasu dan dua kampung di Perlis dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) dan beberapa sekolah terpaksa ditutup.

Namun, ini bukan lagi masa menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak. Perkara yang telah berlaku dijadikan panduan untuk kita mematuhi setiap arahan kerajaan khasnya nasihat kesihatan oleh KKM.

Jika kita alpa dan bersikap tidak kisah,  kesannya bukan sahaja pada diri sendiri dan keluarga malah masyarakat sekeliling  serta negara.

Langkah-langkah pencegahan mesti dilakukan setiap masa kerana amalan  kesihatan awam ini paling berkesan mengelak jangkitan sebelum vaksin dihasilkan.

Pakai pelitup muka sebaik keluar rumah untuk membiasakan diri dengan budaya norma baharu untuk melindungi diri


No comments:

Post a Comment