Wednesday, October 21, 2020

Kepada pihak pihak 'Kebal' dalam Bolasepak Malaysia... Cukup, cukup sudah, cukup sampai di sini saja.


 Penswastaan VS Politik Jumud


Oleh: Hafizal Hamad

21 Oktober 2020


Bola sepak negara sejak kebelakangan ini sibuk membabitkan pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia bagi merealisasikan usaha murni Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar semua pasukan diswastakan.


Sudah nampak usaha positif dan efisyen dilakukan pihak terbabit bagi memastikan pasukan dapat beraksi pada musim depan. Pasukan yang tahu apa nak buat akan lebih terbuka mendapatkan pemilik baru yang pasti lebih arif daripada segi perniagaan bola sepak era baru ini.


Semua aspek perlu diambil kira dengan situasi menang-menang. Itu yang fikir tentang industri bola sepak kini.


Namun, bagi segelintir ahli politik ini situasi bahaya bagi mereka.


Hilang kuasa, hilang populariti, hilang tiket subsidi opss.

Ini yang perlu diteliti sedalam-dalamnya. Habislah tidak ada lagi 'Pegawai Misteri' yang pergi 'deal' beli pemain. Jurulatih kemudian pun tidak kisah. Satu lagi lepas ini tak akan dengar lagi istilah 'Tangan Ghaib'. Ini realiti bola sepak Malaysia.


Betul bukan semua ahli politik macam tu. Ada jugak yang betul minat bola tapi hasil risikan penulis, individu-individu jenis ini tak ramai. Yang ada kepentingan sudah tentu tak senang duduk.


Macam mana pelabur atau pemilik baru nak ambil alih kalau semua nak kena fikir hal orang dalam. Sampai bila pun tidak akan habis. Satu lagi sampai bila nak mengharapkan dana kerajaan negeri?


Penulis juga terfikir kalau esok semua selesai, adakah yang menguruskan pasukan FC ini individu yang sama? Salin kulit saja la kan. Jadi cara pengurusan tetap sama. Cerita final tiket kena agihkan kepada kumpulan mereka dulu akan timbul lagi.


Pemain dan keluarga dapat la dua keping tiket. Penyokong setia pula yang selama ini di belakang pasukan dapat la saki baki. Dapat tapi tak cukup walaupun beratur sejak awal pagi. Itu belum sentuh tentang logo dan nama pasukan lagi.


Kepada pihak pihak 'Kebal'... Cukup,cukup sudah, cukup sampai di sini saja.


Ayuh kita bersama FAM dan seluruh keluarga bola sepak negara untuk satu transformasi. Bila Johor Darul Ta'zim (JDT) cemerlang jangan cemburu sebab usaha serius sudah mendatangkan hasil.


Hasil yang bakal dituai mungkin mengambil masa namun bak kata arwah Hasbullah Awang kepada penulis pada awal pembabitan dalam bidang ini,'Kita Harus Bermula. Permulaan untuk satu pembaharuan yang lebih gemilang.


Buat pemilik baru juga suka diingatkan penyokong jangan dilupakan, mereka juga punya suara. Mereka adalah segalanya di luar padang. Suara mereka telah membuktikan kejayaan sebuah pasukan datang dari mereka pemain ke-12.


Terima kasih, terima kasih, terima kasih buat pemimpin otai bola sepak kerana tiada yang lama tiada yang baru. Ini masa untuk baton diserahkan kepada yang baru. Jika dulu mesyuarat exco makan mee goreng tak salah kalau mencuba spegeti. Renung-renung dan fikir-fikirkan.


Ini Rumah Kita

Ini Liga Kita

Tanah Tumpah Darah Kita.

No comments:

Post a Comment