Adam Abu Bakar - January 10, 2020 3:42 PM
Bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali berkata sehingga kini masih tidak ada kenyataan jelas dari Pejabat Perdana Menteri berhubung tempoh Mahathir akan memangku jawatan itu selepas penyandangnya, Maszlee Malik meletakkan jawatan.
“Dahulu dia sudah ambil jawatan menteri pendidikan, kemudian dia tarik diri sebab melanggar manifesto dan ditentang orang parti serta orang awam. Jadi, apa yang dibuatnya hari ini adalah dia melanggar sekali lagi apa yang sudah dilanggar sebelum ini.
“Ini tindakan memalukan kerana kita tidak tahu berapa lama dia hendak jadi pemangku, boleh jadi seminggu dan boleh jadi setahun. Apakah akhirnya orang akan katakan Mahathir pecat Maszlee supaya dia boleh ambil balik jawatan itu,” katanya kepada FMT.