Umno bukan berlagak 'abang besar' cuma ada kerusi paling banyak
Haspaizi Zain
Memang tidak ada istilah "abang besar" dalam persefahaman yang membentuk Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama semua parti perlu mengakui bahawa Umno adalah penyumbang kerusi terbanyak dalam gabungan berkenaan, kata pemimpin Umno.
Anggota Majis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, misalnya berkata dari suatu sudut Umno merupakan parti besar dan mempunyai struktur yang lengkap sehingga ke akar umbi.
"Bukan soal berlagak seperti abang besar, tapi Umno adalah parti yang mempunyai struktur parti menyeluruh seluruh negara, termasuk akar umbi.
"Dengan cara ini Umno adalah parti yang paling dekat dan banyak berbakti kepada rakyat.
"Saya kira Mustafa (Ali) orang lama dalam politik dan dia memahami perkara ini," katanya kepada Malaysiakini.
Tajuddin yang juga anggota parlimen Pasir Salak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas setiausaha agung PAS, Mustafa Ali, yang berkata Umno perlu mengelak daripada mentaliti "abang besar" walaupun memiliki kerusi terbanyak dalam PN.
Mustafa berkata demikian di media sosial pada 19 Mei lalu.