Tuesday, March 16, 2021

JANGAN TAKUTKAN RAKYAT UNTUK BERSUARA


 JANGAN TAKUTKAN RAKYAT UNTUK BERSUARA


1. Timbul dua pandangan apabila kerajaan menguatkuasakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021. Ini kerana Ordinan ini memperuntukkan hukuman yang tinggi bagi kesalahan menyebar "berita palsu" berkaitan darurat dan Covid -19.


2. Bagi yang menyokong, mereka memberikan hujah berikut :


i. Ordinan ini bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi sebagai hukuman kepada mereka yang menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan kerisauan ramai.

ii. Ordinan ini perlu untuk mengawal kebebasan supaya tidak disalahgunakan. 

iii. Ordinan ini adalah peraturan untuk memandu rakyat dalam mengeluarkan pendapat tanpa menyakiti dan memfitnah sesiapa.

iv. Ordinan ini memudahkan polis bertindak tanpa perlu memohon perintah untuk siasat kerana permohonan ‘Order to Investigate’ boleh mengambil masa yang ‘agak lama’.


3. Bagi yang menentang, mereka menimbulkan kebimbangan berikut:


i. Ordinan ini boleh menyebabkan penahanan sewenangnya ke atas individu yang didakwa menyebarkan maklumat palsu.

ii. Ordinan ini tidak dibahaskan di Parlimen menyebabkan ia perlu disemak semula.

iii. Kita sudah ada peruntukan undang-undang yang mencukupi seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mengatasi berita palsu dan sebarang percubaan untuk menggugat ketenteraman awam.

iv. Ordinan ini menghidupkan semula Akta Antiberita Palsu 2019 yang telah dimansuhkan oleh kerajaan PH sebelum ini. 

v. Dengan definisi berita palsu yang luas, ordinan tersebut boleh disalahgunakan oleh kerajaan untuk menyekat rakyat dari bersuara. 

vi. Salah faham mengenai Covid-19 boleh ditangani dengan maklumat yang tepat, bukannya membuat pendakwaan jenayah. 

vii. Ordinan ini menyekat kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, sekali gus menghakis demokrasi kita.


4. Keprihatinan saya dengan Ordinan ini ialah kesannya terhadap keberanian rakyat untuk bereskpresi.  Saya bimbang Ordinan ini menjadikan rakyat takut untuk membincangkan hal Covid-19 dan darurat memandangkan hukuman berat yang dikenakan. 


5. Jika rakyat sudah tidak berani lagi bersuara dan mengkritik, percayalah negara tidak akan maju.  Di negara maju, kebebasan bersuara rakyatnya telah menjadikan kerajaannya bertanggungjawab dan bertindak sesuai dengan tuntutan dan kritikan rakyat. 


6. Yakinlah bahawa menyekat rakyat dengan undang-undang yang membebankan hanya akan menjadi rakyat, intelektual, dan profesional takut dan bisu. Jika ini berlaku ia tidak akan menguntungkan negara. 


7. Oleh itu, jangan takutkan rakyat untuk mengkritik dan bersuara kerana kita semua—pemimpin dan rakyat—mempunyai tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara ini.


8. Saya akhiri dengan memetik kata-kata Presiden Harry S. Truman: “Once a government is committed to the principle of silencing the voice of opposition, it … becomes a source of terror to all its citizens and creates a country where everyone lives in fear.”


- Prof Mohammad Agus Yusoff

2 comments:

  1. Nak tuduh palsu kena ada bukti ianye palsu .

    ReplyDelete
  2. Salahudin dan khaled samad kuat sokong madey....Jadi 2 orang ni dan mahfuz dan siiapa2 aja dlm Amanah oren masam bawak Amanah gabong dgn Pejuang madey.. Jgn nak tikam belakang anwar....

    ReplyDelete