SANUSI MEMANG BEBAL
Pada 13 Julai 2021 portal harakahdaily memuatnaik suatu berita dengan tajuk “Sanusi Jawab Desakan ADUN PAN”. Laporan tersebut berkaitan respon Sanusi kepada desakan ADUN Kota Siputih, Dr Salmee agar Sanusi memanggil segera persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di media sosial milik Dr. Salmee.
Sanusi dilaporkan menjawab “YB Kota Siputeh… Kita masih tertakluk di bawah Ordinan Darurat 2021 sehingga 1 Ogos 2021,” di samping meminta ADUN Kota Siputeh tersebut merujuk undang-undang di bawah Proklamasi Darurat 2021 supaya memahami kesannya kepada DUN.
Sanusi juga di samping memberikan jawapan ringkas tersebut turut memuat naik poster petikan pertanyaan sering diajukan (FAQ) mengenai Proklamasi Darurat 2021 berkaitan Sidang Parlimen dan DUN.
Jawapan bersandar Seksyen 14 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 itu juga dilampir bersama Seksyen 12 dan 13 serta 17 dan 18 berkaitan PRU, PRN dan PRK serta kekuasaannya.
Sanusi memang bebal. Sebaiknya Sanusi yang terlebih dahulu merujuk dan mendapatkan nasihat undang-undang samada daripada peguam parti sendiri atau penasihat undang-undang Kerajaan Negeri sebelum meminta pihak lain merujuk kepada perundangan.
Benar, Malaysia berada di dalam darurat termasuk negeri-negeri sehingga 1 Ogos 2021. Selama tempoh itu memang benar Parlimen dan DUN tertakluk dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 khususnya Seksyen 15 (1).
Tetapi Sanusi perlu faham bahawa Seksyen 15(1)(b) memberi kuasa untuk DUN bersidang walau pun dalam tempoh darurat.
Seksyen 15 (1)(b) Ordinan memperuntukkan bahawa :
“Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri yang berkenaan”.
Mudah, jelas lagi terang bahawa DUN boleh bersidang dalam keadaan darurat. Orang biasa pun boleh faham.
Tidak ada sebarang peruntukkan di dalam Ordinan yang melarang DUN dari bersidang, tetapi kaedahnya disesuaikan dengan keadaan darurat.
Apa yang perlu dibuat oleh Sanusi cukup mudah. Mohon sembah mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Kedah untuk menentukan tarikh persidangan dan tarikh tersebut setelah dipersetujui, dibawa mengadap Ke Bawah Duli Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Maka DUN Kedah boleh dipanggil bersidang.
Begitu juga Seksyen 14(1)(b) yang memberikan kuasa agar Parlimen bersidang.
Sekarang semua tahu bahawa Dewan Rakyat telah dipanggil bersidang bermula 26 Julai 2021. Adakah 26 Julai itu kita sudah tidak darurat? Adakah Ordinan Darurat tidak terpakai?
Jika Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah Negeri, kenapa DUN tidak boleh bersidang segera?
Sanusi jangan bebal sangat. Sewajarnya sebagai Menteri Besar, lebih berjiwa besar untuk kebaikan negeri yang ditadbir buka ego mendabik dada dalam kebebalan.
Zulhazmi Shariff
Naib Pengerusi
DAP Negeri Kedah Darul Aman
14 Julai 2021
No comments:
Post a Comment