Friday, January 7, 2022

AZAM BAKI KIAN TERBELIT DI SEMUA SUDUT...!


 AZAM BAKI KIAN TERBELIT DI SEMUA SUDUT, DEMI SPRM, LETAK JAWATAN LANGKAH TERPUJINYA 

Hanya sehari selepas mengadakan sidang media bagi membebaskan dirinya yang sedang terperangkap dalam satu lubang, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki akhirnya terperangkap ke dalam lebih banyak lubang lagi.

Bagi tujuan menepis dakwaan, sekaligus membersihkan diri kerana memiliki sejumlah besar saham dalam syarikat korporat dengan mengatakan akaun pembelian sahamnya telah digunakan oleh adiknya, beliau kini bakal berdepan kemungkinan melakukan banyak lagi kesalahan yang lain.

Sementara penjelasannya bahawa akaunnya telah digunakan adiknya begitu diragui dan sukar dipercayai, Azam seterusnya terdedah pula kepada kesalahan melanggar perintah am perkhidmatan awam, peraturan Suruhanjaya Sekuriti atau SC serta kedudukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM yang telah membersihkan namanya dengan didakwa melangkaui batas peranan yang sewajibnya.

Dalam perintah am, selain pemilikan saham oleh seseorang kakitangan awam perlu mendapat kebenaran Ketua Setiausaha kementerian atau Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu, had yang dibenarkan juga harus tidak melebihi RM100 ribu.

Dalam hal ini, adakah Azam telah mendapat kebenaran memiliki lebih dua juta saham yang dikaitkan dengannya itu?

Pengakuan Azam yang turut disahkan oleh LPPR bahawa saham tersebut adalah milik adiknya, tetapi menggunakan namanya, seterusnya mengundang potensi melanggar Akta Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 atau Sicda.

Jurucakap SC berkata, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial saham yang didepositkan atau atas nama syarikat yang diberi kuasa oleh penama.

“Selain itu, Seksyen 29A Sicda menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa,” kata jurucakap itu lagi.

Dengan itu, SC dijangka akan melakukan siasatan, termasuk memanggil Azam dalam waktu terdekat ini bagi mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kebenarannya.

Selain dua kemungkinan kesalahan di atas, Azam juga terdedah dengan keraguan berkenaan sumber kewangan yang diperolehinya bagi membeli saham-saham tersebut.

Dengan laporan polis sudah dibuat oleh AMK Keadilan dan Wira Putra terhadap Azam, pelbagai kemungkinan siasatan begitu terdedah kepadanya.

Di waktu yang sama, oleh kerana Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang dilihat begitu gigih membela Azam, badan yang diterajuinya turut berdepan banyak pertikaian dan kritikan.

Antaranya, beliau digesa mendedahkan minit mesyuarat ketika Azam memberi penjelasan kepada LPPR pada 24 November lalu.

Di samping itu, tindakan LPPR membersihkan nama Azam hanya berdasarkan penjelasannya semata-mata, di samping dikecam, ia turut didakwa melanggar bidang kuasa yang ada padanya.

Disebutkan bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa di bawah SPRM 2009 untuk membebaskan Ketua Pesuruhjayanya daripada dakwaan konflik kepentingan.

Pendeknya, menepis dakwaan berkaitan pemilikan sahamnya dengan mengatakan akaunnya digunakan adiknya telah meletakkan Azam kini terperangkap di semua sudut siasatan.

Di sudut pemilikan saham itu sendiri terus membelit dirinya, kesalahan lain yang bakal menanti, jika disabitkan bersalah, tidak kurang berat hukumannya dengan antaranya ialah penjara dan denda berjuta-juta.

Rentetan itu, apa yang dimahukan banyak pihak ialah agar Azam segera dihadapkan ke sebuah badan penyiasatan bebas bagi menentukan dirinya bersih atau sebaliknya.

Begitu pun, dengan apa yang berlaku kepada Azam ini, sementara menunggu perkembangan seterusnya dan berserta beberapa kes melibatkan SPRM sebelum ini seperti kaitan individu tertentu dengan pengedaran dadah dan kehilangan wang berjumlah RM25 juta yang masih dalam simpanan dan siasatan, apa yang sahih ialah nama agensi tersebut sudah hancur di mata rakyat.

Sekarang ini SPRM bukan saja dicemuh, dikritik, diperlekeh dan tidak lagi dipercayai, malah ramai yang menganggapnya sudah pun mati.

Disebabkan Azam, bukan saja nama SPRM jadi busuk dan tidak berharga, bahkan tidak kurang yang tidak mahu “berazam” apa-apa lagi bila menyambut ketibaan tahun baru mulai tahun depan.

Untuk itu, selain perlunya Azam untuk segera bercuti dan membenarkan dirinya disiasat oleh sebuah badan bebas adalah tindakan yang boleh dikira terbaik, kesediaannya meletak jawatan dalam tempoh 24 jam daripada sekarang adalah langkah yang lebih terpuji dan disanjung tinggi.

SPRM tidak lagi memerlukan Azam, walaupun Azam mungkin masih berharap untuk terus kekal di SPRM. 

– ShahbudinHusin 07/01/2021.

No comments:

Post a Comment