Friday, October 14, 2022

PH KENCING..!


 PH KENCING?

Slogan PH Kencing @ PH Hancing telah ditanam dalam pemikiran masyarakat oleh musuh PH dari hari pertama PH menewaskan BN.

Ramai yang telah termakan dengan propaganda ini tetapi persoalannya sekarang; adakah benar PH telah kencing (menipu) pengundi?

Cuba rujuk pada Dokumen Manifesto PH yang sehingga ke hari ini masih boleh dibaca di pautan ini: https://store.ubah.my/Manifesto_PH_BM.pdf

Saya fikir tidak ramai yang benar-benar telah membaca keseluruhan dokumen ini tetapi hanya membuat andaian 'PH Hancing' melalui propaganda dan fitnah yang direka musuh-musuh PH.



Fakta 1:
Janji untuk mengurangkan harga minyak ke RM1.50 TIDAK ADA DINYATAKAN dalam dokumen manifesto PH 2018.

Yang ada dinyatakan adalah perancangan PH untuk memberikan subsidi minyak bersasar dalam tempoh 5 Tahun pemerintahannya.

Fakta 2:
Janji untuk menghapuskan hutang PTPTN TIDAK ADA DINYATAKAN dalam dokumen manifesto PH 2018.

Yang ada dinyatakan adalah perancangan PH untuk memberikan pengecualian bayaran balik kepada peminjam yang bergaji bawah RM4 ribu sebulan.

Fakta 3:
Janji untuk menghapuskan tol DALAM MASA 22 BULAN tidak ada dalam dokumen manifesto PH 2018

Yang ada dinyatakan adalah perancangan PH untuk menghapuskan tol secara berperingkat-peringkat melalui runding semula dengan pihak konsesi. Perlu diingat dalam masa setahun PH telah pun berjaya mengurangkan kadar bayaran tol sebanyak 18% dan pengurangan ini masih dapat dirasai rakyat sehingga kini.

Apabila kita berhujah, kita perlulah memberikan fakta yang betul kerana kita tidak mahu apa yang baik nampak jahat, apa yang jahat nampak baik di mata rakyat. Kesannya amat buruk pada negara.

Memang benar Tun Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan "Manifesto bukan kitab suci" tetapi kenyataan ini telah diputar-belit oleh musuh PH dan pemahaman yang diberi oleh musuh PH telah lari dari konteks sebenar.

Maksud Tun pada waktu itu, manifesto adalah ciptaan manusia yang sifatnya adalah tidak sempurna. Ada janji yang memerlukan lebih masa untuk ditunaikan. Inilah maksud sebenar Tun pada waktu itu. Tun tidak bermaksud Kerajaan PH langsung tidak mahu menunaikan manifestonya.

Justeru itu saya ingin menyeru kepada semua pengundi supaya tidak terus percaya bulat-bulat pada maklumat yang disampaikan sebelah pihak. Sebaliknya kita perlu mendengar maklumat dari pelbagai pihak supaya kita dapat membezakan mana yang benar, mana yang palsu.

Kebenaran pasti akan menang.

Adly Zahari
14 Oktober 2022
Melaka

No comments:

Post a Comment