Sunday, November 13, 2022

PN PARTI KAYA, TAPI ‘BAHAYA’ BERI UNDI KEPADANYA


 PN PARTI KAYA, TAPI ‘BAHAYA’ BERI UNDI KEPADANYA 

Berdasarkan kunjungan dan tinjauan ke beberapa kawasan pilihan raya setakat ini, apa yang ketara ialah poster dan bendera PN terlihat jauh lebih meriah mengatasi PH dan juga BN.

Walaupun PN baru beberapa tahun ditubuhkan dan berpeluang mengetuai kerajaan cuma selama 17 bulan, kemudian berada lagi dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob selama 14 bulan sehingga sekarang z- ertinya cuma 31 bulan – kemampuan kewangan gabungan itu nampaknya cukup mengkagumkan.

PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan, STAR dan SAPP itu bukan saja mengatasi kemampuan PH yang pernah menjadi kerajaan selama 22 bulan, bahkan meletakkan BN yang berkuasa sebelum ini selama lebih 60 tahun jauh di belakang.

Sejak PRN Melaka dan Johor sebelum ini, sekarang bersambung pula ke PRU15, PN telah menyerlahkan kemampuan kewangan yang luar biasa dari segi menyediakan poster dan juga bendera.

Logiknya, kalau poster dan bendera sudah jauh ke hadapan, pastinya dalam aspek yang lain dalam menghadapi PRU15 ini juga PN memiliki kemampuan kewangan yang besar dan luar biasa.

Sekali fikir, macam PN sebelum ini pernah berkuasa selama 31 tahun lamanya.

Bagaimana mereka ada kemampuan kewangan sebegitu?

Adakah Mahiaddin Md Yasin seorang yang amat kaya?

Apakah Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali juga begitu kaya?

Atau Hadi Awang turut tidak terkecuali dari segi kekayaannya?

Jika pimpinan utama PN tidak kaya, bagaimana mereka mampu tampil bergaya untuk bertarung dalam pilihan raya?

Namun demikian, meskipun terlihat kaya dan memiliki kemampuan kewangan yang besar, PN bukanlah parti yang harus disokong oleh pengundi pada 19 November nanti.

Lupakan soal kekayaan dan kemampuan memeriahkan suasana dengan poster serta bendera, tetapi penting untuk difikirkan bahawa di dalam PN, terutama melalui Bersatu, terkumpul segala jenis pengkhianat yang telah merosak dan mengotorkan suasana politik negara sejak 2018 lalu.

Pengkhianat UMNO, pengkhianat PKR dan pengkhianat kepada PH, semuanya terkumpul dalam Bersatu yang menunjangi PN sekarang ini.

Sementara kewujudan Bersatu itu sendiri bertujuan mahu “membunuh” UMNO, penyertaan katak-katak dan pengkhianat daripada UMNO dan PKR ke dalamnya menjadikan ia sebuah kumpulan yang penuh toksid serta amat merbahaya.

Mereka inilah yang mengotor dan menghuru-harakan keadaan politik negara selama ini.

Memberi undi dan mengekalkan lagi mereka sebagai Ahli Parlimen akan memungkinkan keadaan politik negara terus kotor dan tidak dapat dibersihkan.

Politik negara ini berkemungkinan dapat dibersihkan atau setidak-tidaknya dipandang lebih baik hanya dengan mereka itu disingkir dan diketepikan sama sekali dalam PRU15 ini.

Oleh itu, jika ingin melihat negara ini lebih aman dan selamat selepas PRU15 ini, jauhkan sama sekali daripada memberi undi kepada PN.

Lebih buruk lagi, di dalam PN yang sudah sedia bertoksid itu terdapat pula Pas yang sejak puluhan tahun menjual nama Allah, syurga dan neraka sebagai modal untuk mengaut laba dalam berpolitik demi dunia.

Kalau mereka berhujah atau berceramah, seolah-olah Islam itu hanya milik mereka semata-mata dan kunci pintu syurga dan neraka pun mereka juga yang memegangnya.

Hakikatnya, perbuatan mereka itu amat merosakkan agama dan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.

Dengan demikian, sekali lagi, jauhi daripada memberi undi kepada PN demi keharmonian hidup di negara tercinta ini. 

Dari meja – Shahbudin Husin 12/11/2022.

No comments:

Post a Comment