Saturday, December 3, 2022

ANWAR JADI MENTERI KEWANGAN LAH PULAK..!


 KENAPA ANWAR JADI MENTERI KEWANGAN

Ramai yang masih ingat ucapan Mat Sabu sewaktu kempen PRU 14 yang lalu (bukan PRU 15). Mat Sabu membuat perumpamaan kepada bekas Perdana Menteri semasa itu, ‘Najib nak pakai duit, Najib tanya Najib, Najib cakap nanti dia bincang dengan Najib. Lepas bincang, Najib luluskan duit kepada Najib’. 

Kali ini pastinya orang akan troll juga ‘Anwar nak pakai duit, Anwar tanya Anwar, Anwar cakap nanti dia bincang dengan Anwar. Lepas bincang, Anwar luluskan duit kepada Anwar’. Tidak mengapa. Itu hak rakyat untuk troll pemimpin dan pemimpin perlu steady dan tidak koyak.

Bagi saya ini troll seperti ini pastinya sudah difikirkan oleh Anwar. Hakikatnya, karekter Anwar adalah berbeza dengan Najib. Anwar sudah tolak gaji. Anwar juga pesan kepada pegawai supaya tidak sediakan cenderamata apabila beliau pergi turun padang ke program kementerian. Anwar juga tolak untuk gunakan Mercedes S600.  

Justeru, kenapa Anwar ambil jawatan Menteri Kewangan? Jawapannya kerana Anwar tahu bahawa ketirisan akan bermula dengan MOF. Perbelanjaan besar di setiap kementerian mesti mendapat kelulusan MOF. MOF ini adalah gedung perbendaharaan dan jika Anwar sudah bagi komitmen untuk melaksanakan tender terbuka maka MOF mesti berperanan. Anwar tahu hal itu kerana Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan.

Mungkin ada yang berhujah bahawa lebih baik seorang Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan atas alasan bahawa untuk mewujudkan mekanisme semak dan imbang. 

Orang yang tidak puas hati dengan Menteri Kewangan kemudiannya boleh mengadu kepada Perdana Menteri. Tidak salah untuk berhujah sedemikian namun dalam keadaan komitmen Anwar untuk melakukan tatakelola yang baik maka kegusaran salah guna kuasa itu boleh dihindarkan. 

Lagipun, pasca PRU 14 dahulu rakyat sudah semakin celik tentang hal tatakelola ini. Rakyat sendiri boleh memekik dan memaki Anwar nanti jika Anwar tidak mengotakan janji untuk melakukan tatakelola yang baik dalam MOF.

Dalam menghadapi saat ekonomi yang sukar pada tahun 2023, Anwar tiada pilihan kecuali mesti bergerak secepat mungkin untuk mengejar masa. Masa yang terbuang akan merugikan negara.

Anwar juga adalah Perdana Menteri. Sebagai Perdana Menteri beliau adalah yang Pengerusi kepada Jemaah Menteri. Perdana Menteri perlu tahu apakah yang dibuat oleh kementerian dan perlu membuat keputusan segera. Jika Perdana Menteri dan Jemaah Menterinya membuat keputusan tetapi tersangkut pula di MOF maka keputusan yang segera itu akan tetap menjadi lambat. 

Namun, jika Anwar menjadi Menteri Kewangan isu kelambatan ini dapat diatasi dengan secepatnya. Anwar bergerak pantas dan tidak berfikir pasal cuti. Anwar telah mengumumkan nama-nama anggota Jemaah Menteri pada hari Jumaat malam Sabtu. Mana-mana Menteri yang dilantik melalui jalan senator perlu mengangkat sumpah pada hari Sabtu dan Anwar sendiri sudah menjadualkan supaya perjumpaan dengan Menteri itu dibuat juga pada hari Sabtu. 

Pada hari Isnin semua menteri yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan YDPA. Pergerakan yang cepat ini sangat luar biasa dan di luar kebiasaan Malaysia.
Seperkara lagi, Anwar tahu bahawa Timbalan Perdana Menteri adalah kluster Mahkamah. Timbalan Perdana Menteri itu kini terpalit dengan kes berkaitan sakau duit rakyat. Rakyat risau jika Timbalan Perdana Menteri itu akan mengamalkan amalan sakau dan akhirnya rakyat juga yang rugi.

Sebab itu, Anwar perlu berada di MOF untuk mengurus persepsi rakyat. Rakyat melihat Anwar sebagai orang yang tidak kemaruk fulus (teringat pula pepatah Al Fulus Fi Dunya Wal Mampos Fil Akhirah). Ini dibuktikan bahawa dalam kes sabitan Mahkamah dahulu pun Anwar didakwa bukan kerana salah guna wang tetapi dikatakan salah guna kuasa itu berlaku disebabkan Anwar memberikan arahan dalam bentuk sergahan kepada seorang pegawai kerajaan. 

Maknanya, rakyat perlu terima hakikat bahawa tidak mudah untuk seorang Timbalan Perdana Menteri menyakau duit rakyat dalam keadaan Anwar menjadi Menteri Kewangan. Anwar sendiri sudah banyak kali menekankan konsep dan prinsip keadilan serta tatakelola yang baik (good governance) dalam pentadbirannya. Harapnya Anwar akan konsisten dengan kedua-dua prinsip itu.

Keadaan kewangan negara kini pun sudah tenat. Dengan hutang negara berjumlah RM1.2 trilion adalah tidak mudah untuk mentadbir negara. 

Sejumlah RM600 bilion dikatakan telah dibelanjakan oleh PM 8 semasa beliau memerintah. RM600 bilion bukanlah satu jumlah yang sedikit. RM600 bilion itu pun tidak dibentangkan atas alasan darurat. 

Pada masa itu PM 8 bukanlah Menteri Kewangan tetapi ketirisan tetap berlaku dan maklumat terperinci mengenai perbelanjaan RM600 bilion itu tetap digelapkan daripada pengetahuan rakyat. Kalau kita lihat bajet 2023 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul sebelum ini pun baharu berjumlah RM372 bilion. Maka jumlah RM600 bilion itu hampir menyamai perbelanjaan 2 tahun negara Malaysia. 

Justeru, mungkin itulah sebabnya Anwar memilih untuk menguruskan sendri kewangan di MOF.

Dr Zulqarnain Lukman
3 Disember 2022

No comments:

Post a Comment