Wednesday, July 5, 2023

Dah la tu Tun. Rehatlah.

 

DAH LA TU...

Aku sebenarnya malas nak tulis apa pasal apa yang Tun M buat dan cakap sebab aku hormat dia dan aku hormat serta hargai kawan-kawan yang masih bersama dengan dia.

Tapi bila Tun cakap benda yang tak betul malah membawa kepada fitnah, aku kena tulis dan cakap kerana ajaran Nabi kita supaya kita bercakap benar walau pun ianya pahit untuk ditelan.

Aku percaya kawan-kawan yang masih bersama dengan Tun pun faham dan tahu apa yang Tun cakap tu tidak tepat dan fitnah tetapi mereka terpaksa diam malah terpaksa angkat apa yang Tun cakap.

Tun kata DAP yang ada 40 wakil dalam Kerajaan Perpaduan akan mengugut Perdana Menteri untuk mengubah negara menjadi negara bebas tanpa agama dengan meminda Perlembagaan membuang Islam sebagai agama rasmi negara. Dakwaan Tun ini sangat berniat jahat dan fitnah terhadap DAP sebagai sebuah parti dan terhadap aku termasuk kawan-kawan ahli-ahli DAP berbangsa Melayu beragama Islam.


Tun mungkin dilanda karma akibat tindakan Tun sendiri hingga Tun sekarang menjadi lupa dengan apa yang Tun lakukan dan lalui. Tun selalu sebut Melayu mudah lupa dan sekarang Tun yang benar-benar lupa atau sengaja buat-buat lupa.


Waktu Tun jadi Perdana Menteri pada tahun 2018 hingga 2020 semasa bersama DAP dan PH, DAP waktu itu punyai 42 wakil dalam Kerajaan Tun. Seluruh 42 wakil berikan mandat penuh malah menpertahankan Tun sebagai Perdana Menteri.


Tidak pernah sekali pun DAP cuba mencadangkan Perlembagaan dipinda membuang Islam sebagai agama Persekutuan. Waktu bersama Tun, Tun melalui Bersatu hanya minoriti dalam Kerajaan tetapi tidak pernah sekali pun DAP menuntut apa-apa di luar konteks Perlembagaan Persekutuan. DAP boleh ugut Tun untuk tarik sokongan tetapi itu bukan prinsip DAP.


DAP yang menjadi tunjang Kerajaan Pulau Pinang sejak beberapa penggal tidak pernah berusaha meminda Perlembagaan Pulau Pinang membuang agama Islam sebagai agama rasmi negeri.


Yang menjatuhkan Tun bukan DAP tetapi orang Tun dan parti Tun sendiri.


DAP tidak makan kawan. DAP setia dengan kawan. Jangan kerana dendam dan bukan aku maka semua orang dibuat lawan. Orang lain kawan dengan musuh Tun terus Tun anggap orang itu juga musuh Tun.


Cukuplah Tun. Kalau nak tulis apa Tun buat, banyak orang lain boleh tulis tapi orang lain sedang "move on" untuk bina semula negara bukan masih berlingkar dalam nostalgia.


Tun tak perlu risau, kami ahli-ahli Melayu Islam dalam DAP tidak akan menjual bangsa dan agama kami. Malah sejak kami menjadi ahli, kami percaya DAP tidak sekali-kali akan mengubah dasar dan teras utama Perlembagaan Persekutuan.


Dah la tu Tun. Rehatlah.


ZULHAZMI SHARIFF

No comments:

Post a Comment