Wednesday, October 25, 2023

Polemik "Wahai Kafir"


 Polemik "Wahai Kafir"

1. Apabila membicarakan berkenaan isu sejauh manakah kita boleh atau tidak memanggil seseorang bukan Islam itu sebagai Kafir, saya berpendapat ia bergantung kepada situasi ketika ucapan itu dibuat.

2. Dalam keadaan biasa, memanggil orang bukan Islam sebagai "Kafir" secara bersemuka adalah bertentangan dengan hikmah. Sedangkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam dakwah. Berdasarkan Fatawa Syabakah Islamiyah yang diselia oleh Syeikh Dr Abdullah Al Faqih, isu ini pernah dijawab seperti berikut:-

Soalan

هل يجوز الإشارة إلى الكافر باليد والقول له أنت كافر علما بأنه كافر فهل يجوز ذلك

Bolehkah menunjuk dengan tangan kepada seorang Kafir dan berkata kepadanya "Kamu Kafir". Dalam keadaan kita sememangnya tahu dia Kafir. Adakah ini dibolehkan?

Jawapan

فلا شك أن من لم يكفر الكافر أو يشك في كفره أنه كافر، وهذا أصل أصيل في الإسلام، إلا أن هذا لا يعني ما ذكره السائل من إسماع الكافر كونه كافراً، بل الغالب أن ذلك يتنافى مع الحكمة، إذ كيف يقال هذا الكلام لمن يرجى تأليفه على الإسلام، لا سيما وأن الكافر قد يعتقد أنه على حق، فإسماعه هذه الكلمة مقتض لتنفيره عن سماع الحق وعن قبوله إياه. ويستثنى من هذا حالة وهي فيما إذا اقتضت المصلحة الشرعية ذلك، ويغلب أن يكون هذا في حق المعاند

Tidak syak lagi bahawa orang yang tidak mengkafirkan orang kafir, atau meragui kekufurannya maka dia juga kafir. Ini merupakan kaedah penting dalam ajaran Islam. Tetapi kaedah ini tidak dimaksudkan sebagai jawapan kepada apa yang ditanya oleh penyoal iaitu mengatakan "Kafir" di depan orang kafir (secara bersemuka). Bahkan secara umumnya ini bertentangan dengan hikmah. Bagaimana mungkin perkataan ini disebut di depan orang yang diharapkan agar dia cenderung kepada Islam. Apalagi orang kafir yang yakin dia betul. Maka perbuatan mengucapkan perkataan ini di depan mereka akan membuat mereka lari dari mendengar dan menerima kebenaran. Melainkan terdapat Maslahah Syar'iyyah. Ini lazimnya ditujukan kepada orang yang menentang.

3. Di dalam kitab Ad-Durr Al Mukhtar terdapat petikan berikut dari Kitab Al Qunyah:-

وفي القنية: قال ليهودي أو مجوسي يا كافر يأثم إن شق عليه، ومقتضاه أنه يعزر لارتكابه الاثم.

Jika seseorang berkata "Wahai Kafir" kepada Yahudi atau Majusi maka dia berdosa jika panggilan itu menyakiti Yahudi atau Majusi tersebut. Orang itu hendaklah dikenakan hukuman takzir kerana telah melakukan dosa.

4. Kita di Malaysia dalam masyarakat berbilang kaum dan agama telah dan sedang hidup aman damai dan harmoni sekian lama. Kita tidak pernah memanggil rakan sepejabat, jiran dan kawan-kawan bukan Islam "Wahai Kafir". Saya tidak boleh bayangkan kalau di sekolah nanti ada guru-guru yang berucap di perhimpunan sekolah dengan ucapan seperti ini.. "Kepada pelajar Islam dan Kafir"... Teruk bunyinya.

5. Begitu juga PAS mempunyai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). Keanggotaannya terdiri daripada ahli yang bukan beragama Islam. Istilah "kafir" tidak digunakan.

6. Ini menepati pendekatan yang diutarakan oleh Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali r.h. yang berpendirian bahawa gelaran kafir hanya sesuai kepada penjenayah dan penjahat di kalangan bukan Islam.

7. Perintah Allah SWT kepada kita semua:-

اُدْعُ اِلٰى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ اَحْسَنُۗ اِنَّ رَبَّكَ هُوَ اَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيْلِهٖ وَهُوَ اَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِيْنَ

Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yg sesat dari jalanNya. Dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yg mendapat petunjuk.
(Surah An-Nahl:125)

Ahmad Jailani Abdul Ghani
25/10/23


No comments:

Post a Comment